Kenyataan berbaur perkauman Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria langsung tidak menggambarkan apa yang diajarkan oleh Islam yang tidak prejudis terhadap warna kulit atau bangsa, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Merujuk ucapan Razman pada Sabtu lalu menggesa mereka yang mata, kulit dan darahnya seperti dirinya untuk bersatu dan menghantar mesej kepada "kawan" yang menyokong mereka yang mengibarkan bendera China.
“Apa yang dikatakan Razman langsung tidak gambarkan apa diajarkan Islam yg tidak prejudis terhadap warna kulit atau bangsa,” kata Nik Nazmi dalam catatan di Instagram malam tadi.
Dia memetik bagaimana Bilal bin Rabah - bekas hamba berkulit gelap - dipilih oleh Nabi Muhammad SAW sebagai muadzin pertama Islam.
Nik Nazmi seterusnya memetik Hikayat Riwayat Tirmidzi yang berkata: "Wahai manusia! Rabb kalian satu, dan ayah kalian satu. Ingatlah! Tidak ada kelebihan orang Arab ke atas orang bukan Arab dan bagi orang 'Ajam ke atas orang Arab. Tidak ada kelebihan orang berkulit merah ke atas orang berkulit hitam, bagi orang berkulit hitam ke atas orang berkulit merah kecuali dengan ketaqwaan."
Nik Nazmi yang juga naib presiden PKR menambah, tidak semua orang Melayu turut berkongsi ciri-ciri sama seperti yang disebut oleh Razman.
“Kalau apa yang dimaksudkan Razman adalah tentang orang Melayu, orang Melayu bukan semuanya sawo matang dan mata bulat.
“Ada mata sepet, ada kulit putih, ada kulit gelap. Jadi apa ukurannya, selain membakar sentimen kaum sempit semata-mata?” soalnya.
Kenyataan Razman itu dibuat susulan insiden pengibaran bendera China di Menara Condong Teluk Intan, Perak semasa festival kebudayaan Guan Gong pada Khamis lalu apabilasekumpulan warga China telah mengibarkan bendera negara mereka pada satu acara kebudayaan.
Nik Nazmi mendakwa pemimpin PAS Perak itu mengabaikan fakta bahawa kumpulan berkenaan bukan rakyat Malaysia dan pihak berkuasa telahpun menjalankan siasatan.