Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tidak dilahirkan Siti Hasmah'
Diterbitkan:  Oct 28, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang kini berusia 98 tahun mendedahkan "rahsia" di sebalik namanya.

Isteri kepada bekas perdana menteri itu menjelaskan nama "Siti" ditambah selepas dia dan Dr Dr Mahathir Mohamad berpindah dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

"Saya perlu betulkan... Saya tidak dilahirkan sebagai 'Siti Hasmah'.

"Nama saya hanya Hasmah," katanya pada siaran podcast "Coffee with Ryan" bersama pakar Pusat Perubatan Prince Court Medical Center Dr Ryan Ponnudurai yang turut menampilkan Dr Mahathir.

Dr Hasmah berkata nama "Siti" wujud kerana ia merupakan trend pada tahun 1970an, ketika dia dilantik sebagai pegawai perubatan di hospital.

“(Sekarang) ada Siti Nurhaliza), ada Siti ini, ada Siti itu.

"Jadi (pada ketika itu) mereka tambah 'Siti' sebelum nama saya. Tapi saya hanyalah Dr Hasmah,” katanya.

Dr Hasmah yang mendirikan rumah tangga bersama Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956 juga meminta supaya panggilan Siti tidak lagi ditambah pada namanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Ryan turut membincangkan mengenai perkembangan bidang perubatan, kesihatan dan rahsia kebahagian rumah tangga bersama pasangan itu.

Ketika ditanya mengenai rahsia kebahagian pasangan itu, Dr Hasmah berkata dia dan Dr Mahathir saling mempercayai antara satu sama lain.

"Paling penting, anda perlu memilih pasangan yang baik," katanya.

Bagi Dr Mahathir, sifat tolak ansur penting untuk menjaga keharmonian hubungan suami isteri.

"Kami punya perbezaan. Saya orang yang sangat menepati masa, tapi dia tidak.

"Tapi saya perlu menerima dia akan lambat dan saya akan menepati masa.

"Saya terima dan saya fikir dia juga menerimanya," katanya.

Ketika ditanya rahsia panjang umur, Dr Mahathir menjelaskan aspek pemakanan memainkan peranan penting.

"Paling penting, elakkan obesiti. Makan terlalu banyak.

"Ibu saya beritahu saya bila makanan itu rasa sedap berhenti makan. Ini amat susah tapi kemudian saya menyedari bila makanan itu rasa sedap kamu cenderung untuk terlebih makan dan perut anda membesar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS