Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamad kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tahun depan.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata persetujuan antara BN dan PH itu menjadi asas kepada kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah.
“Kita tidak pernah menutup pintu untuk menjalin kerjasama dengan gabungan parti-parti di Sabah ataupun mana-mana kerjasama dengan parti-parti yang ada di Sabah, dan kita juga tidak menggunakan pendekatan lama bahawa tidak ada sebarang peluang untuk mengadakan rundingan.
“Jadi apa yang diperkatakan oleh (Pengerusi BN Sabah Datuk Seri) Bung Mokhtar (Radin) itu adalah bersesuaian dengan landskap politik di Sabah dan disesuaikan dengan situasi politik di peringkat nasional,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks Umno di Bagan Datuk hari ini.
Presiden Umno itu diminta mengulas kenyataan Bung Moktar semalam mengenai perbincangan tidak rasmi dengan PH Sabah untuk bergabung dengan BN menjelang PRN berkenaan selaras pendekatan di Semenanjung.
Ahmad Zahid juga berkata bagi parti lain, rundingan terperinci akan diadakan apabila tiba masanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah negeri itu akan bekerjasama dengan BN-PH pada PRN berkenaan.
“Saya sendiri telah bertemu dengan pemimpin utama GRS... kami tidak mengadakan perundingan secara spesifik tapi kami mengadakan perbincangan secara umum untuk mewujudkan kesefahaman.
“Pelbagai kemungkinan akan berlaku di Sabah dan saya fikir politik di Sabah sangat dinamik... kedinamikan inilah yang menjadi pegangan kami Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” katanya.
- Bernama