Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Akmal Zahin Zainal Zahir dilaporkan memenangi jawatan ketua pemuda Bersatu.
Bagaimanapun kem pencabarnya mengumumkan kemenangan berpihak kepada Hilman Idham.
Dalam satu kenyataan yang dikaitkan dengan pusat pengiraan sayap pemuda itu mendakwa Zahin mengatasi Hilman dengan hanya 76 undi.
Ketika dihubungi, seorang pemimpin Bersatu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa angka tersebut – walaupun tidak rasmi – adalah benar.
Sejurus berita mengenai kemenangan Zahin tersebar, jemputan untuk sambutan kemenangan dikongsikan dalam kumpulan Whatsapp Penerangan Media PN.
Namun, menariknya, sambutan meraikan ketua Pemuda Bersatu yang baru pada jam 5 petang ini adalah untuk Hilman dan bukan Zahin.
Jemputan tersebut menyatakan bahawa keputusan tidak rasmi “membuktikan” Adun Gombak Setia itu memenangi jawatan Ketua Pemuda Bersatu.
Ketika dihubungi, Hilman berkata dia sedang menaiki pesawat dan akan mengulas perkara itu selepas tiba ke destinasi.
Ketua Pemuda Bersatu sekarang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak mempertahankan jawatannya dan sebaliknya berusaha mendapatkan tempat dalam majlis tertinggi parti.