Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih baik Akmal tumpu belanjawan Melaka dulu, kata Adun Bersatu
Diterbitkan:  Oct 27, 2024 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Adun Sungai Udang, Mohd Aleef Yusof menggesa exco kerajaan negeri Melaka, Dr Akmal Saleh supaya menumpukan perhatian kepada peranannya dalam pentadbiran negeri itu ketimbang mengkritik PN.

Dalam satu kenyataan, Aleef menempelak Adun Merlimau itu kerana mengatakan PN “lemah” berikutan ketiadaan belanjawan bayangan.

“Kenyataan Akmal seolah-olah mahu PN menuruti tindakan PH ketika menjadi pembangkang dahulu di mana mereka menyajikan pelbagai janji palsu di dalam belanjawan yang akhirnya menjerat rakyat.

"Apakah Akmal mahu PN menjadi penipu kepada rakyat seperti apa yang dilakukan PH dahulu?

“Tak guna sajikan belanjawan bayangan yang penuh dengan penipuan!” katanya.

Kenyataan Akmal itu dibuat selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka yang ingin melihat belanjawan PN perlu menunggu gabungan itu membentuk kerajaan.

Akmal mendakwa kegagalan PN menghasilkan belanjawan alternatif menunjukkan gabungan itu ingin kekal sebagai pembangkang selamanya.

Mengulas lanjut, Aleef yang juga pemimpin Pemuda Bersatu mempersoalkan belanjawan negeri Melaka yang didakwanya tidak berkesan dalam membantu rakyat di negeri itu.

"Ini belanjawan negeri melaka pun tidak berjaya dalam membantu rakyat negeri Melaka menangani kos sara hidup yang tinggi di negeri ini.

"Beras tempatan juga masih tiada dan usaha mewujudkan benih padi tempatan untuk meningkatkan pengeluaran padi di Merlimau sebanyak RM300,000 seperti dibentang dalam bajet negeri tahun lepas masih juga belum membuahkan hasil.

"Akmal ialah exco pertanian. Di Melaka, bekalan beras masih tidak tersedia. Dia seorang yang gagal,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS