Permohonan maaf daripada bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1MDB boleh diterima dengan niat baik, kata Presiden MyPPP, J Loga Bala Mohan.
Katanya, penerimaan permohonan maaf itu perlu mengambil kira jasa dan sumbangan Najib kepada negara ini.
"Tiada yang sempurna. Semua ada kebaikan dan keburukan. Hanya kerana beberapa kesilapan, kita tidak boleh menolak kebaikan orang itu.
"Sumbangan Najib kepada negara ini tidak boleh dinafikan.
"Maka saya percaya rakyat boleh menerima permohonan maaf bekas perdana menteri itu atas niat baik," katanya kepada Malaysiakini.
Najib dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Okt lalu memohon maaf kerana skandal 1MDB berlaku semasa pentadbirannya.
Bagaimanapun bekas ahli parlimen Pekan itu tetap menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah.
Dia juga menyebut artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang mendedahkan bagaimana Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Najib mendakwa artikel tersebut merumuskan bahawa dia telah ditipu.
Namun artikel itu tidak sepenuhnya menyatakan bekas presiden Umno itu tidak bersalah.
Mengulas lanjut, Loga yang pernah memegang jawatan timbalan menteri Wilayah Persekutuan ketika zaman Najib, berkata negara tidak akan mengorak ke hadapan sekiranya kesilapan masa lalu dibangkitkan.
"Yang bersalah itu biar mahkamah tentukan. Kalau didapati bersalah boleh dihukum. Itu tiada masalah.
"Tapi, yang penting, negara perlu menuju ke depan. Berbincang kesilapan masa lalu tidak akan membawa sebarang progresif," katanya.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Namun, Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukumannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Selain kes SRC International, Najib juga masih berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan kes 1MDB.
Kes-kes tersebut adalah kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, kes pecah amanah jenayah berkaitan International Petroleum Investment Company berjumlah RM6.6 bilion, kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.