Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangka membincangkan peranannya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-39 parti itu yang berlangsung selama dua hari bermula 28 Okt ini.
Ketua Penerangan, Joniston Bangkuai, berkata lebih 100 perwakilan dan pemerhati juga dijangka akan memberi tumpuan terhadap kerjasama politik yang dijalin dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
"Persidangan itu akan menyaksikan pembentangan beberapa usul yang menyentuh mengenai isu semasa dan pembangunan di negeri ini.
"Perbincangan juga dijangka mencakupi peranan PBS sebagai anggota utama GRS dan kerjasama politiknya dengan STAR," katanya, lapor Berita Harian.
Adun Kiulu itu berkata Ketua Menteri, Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dijadual merasmikan persidangan itu pada Selasa, manakala pemangku Presiden PBS, Dr Joachim Gunsalam akan merasmikan persidangan sayap wanita dan pemuda.
PBS dan STAR adalah antara komponen terawal yang membentuk GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 bersama Bersatu yang kini diganti Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Maju Sabah (SAPP) turut menjadi parti terawal yang sama-sama membentuk gabungan baru parti tempatan Sabah itu.
Gabungan itu kemudian disertai Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan yang terbaru Parti Cinta Sabah (PCS).
Kerjasama antara lapan parti komponen GRS itu menjadi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), terutama dalam soal agihan kerusi, termasuk dengan rakan kerjasama daripada PH dan parti lain.