Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasat ketua PAS Perak kerana ucapan perkauman - Pemuda DAP
Diterbitkan:  Oct 27, 2024 9:50 AM
Dikemaskini: 1:50 AM

Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Dr. Kelvin Yii menggesa pihak berkuasa menyiasat Ketua Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berhubung kenyataan yang didakwa berunsur provokasi.

Dalam satu kenyataan, Yii mengecam Adun Gunung Semanggol itu kerana menggunakan retorik berunsur perkauman untuk menghasut masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kami di Dapsy akan membuat laporan polis terhadapnya (Razman), dan saya menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap Razman.

“Jika terbukti, beliau sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang kerana menghasut kebencian dan jelas menyentuh isu 3R,” jelasnya.

Razman dalam satu rakaman video ketika perhimpunan yang diadakan Menara Condong Teluk Intan semalam membidas kerajaan kerana didakwa gagal mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam masa yang sama dia juga menyeru individu yang memiliki 'mata, kulit dan darah yang sama' supaya bersatu.

“Kita mohon kepada semua yang matanya macam ni (sambil tunjuk mata), kulit dia macam ni (tunjuk kulit), darah dia macam kita semua, kita kena bersatu, inilah wadahnya yang kita bawa,” kata Razman.

Perhimpunan itu yang dihadiri lebih 300 orang dengan membawa dan mengibarkan bendera Malaysia diadakan sebagai tindak balas susulan insiden pengibaran bendera China di lokasi yang sama semasa sambutan Guan Gong Khamis lalu.

Penganjur festival, Persatuan Kebudayaan Guan Gong, kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan individu yang dirakam mengibarkan bendera tersebut adalah warganegara China.

Yii berkata tindakan Razman bukti PAS tidak layak mentadbir negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

“Sebelum ini, Razman juga cuba menggambarkan komuniti Cina di Malaysia sebagai tidak patriotik atas insiden tersebut.

“Kenyataan sebegitu bukan sahaja satu penghinaan kepada masyarakat kita di Malaysia, tetapi satu bentuk hasutan kebencian yang jelas untuk memecahbelahkan dan menghasut kebencian antara kaum.

“Itulah sebabnya saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk menolak politik ekstrem seperti ini dan mencari keamanan serta persefahaman antara semua kaum, kerana kita semua memainkan peranan dalam membina semula negara tercinta kita,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS