Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu - Razman
Diterbitkan:  Oct 26, 2024 10:44 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria membuat kenyataan yang kedengaran berbaur perkauman pada perhimpunan yang disertai lebih 300 orang mengibarkan bendera Malaysia di Menara Condong Teluk Intan, Perak hari ini.

Perhimpunan itu diadakan susulan insiden pengibaran bendera China di lokasi sama semasa festival kebudayaan Guan Gong pada Khamis lepas.

Sambil mengkritik pentadbiran sekarang kerana disifatkan tidak mempertahankan kedaulatan negara, Razman membuat seruan untuk perpaduan, dengan memetik ciri fizikal.

“Kita mohon kepada semua yang matanya macam ni (sambil tunjuk mata), kulit dia macam ni (tunjuk kulit), darah dia macam kita semua, kita kena bersatu, inilah wadahnya yang kita bawa,” katanya.

Kenyataan stereotaip mengenai ciri mata orang Cina dan lain-lain keturunan Asia Timur lazimnya diguna sebagai cacian terhadap komuniti itu.

Razman menambah bahawa mesej mesti dihantar kepada "kawan" yang menyokong mereka yang mengibarkan bendera China.

Mereka yang mengibarkan bendera China semasa kejadian pada Khamis adalah warga China.

Sebelum ini, Razman menyifatkan masyarakat Cina Malaysia sebagai tidak patriotik berhubung insiden itu.

Dalam ucapannya hari ini, Razman berkata kerajaan telah gagal menjaga kedaulatan Malaysia.

“Terima kasih kita semua yang hadir, nyatakan solidariti, nyatakan kepada semua rakyat Malaysia, ini negara kita, kedaulatan negara kita tak ada orang boleh jaga, maka kitalah yang kena jaga," katanya kepada peserta himpunan.

Selain ucapan Razman dan pengibaran bendera, NST melaporkan peserta turut menyanyikan lagu kebangsaan serta lagu Jalur Gemilang dan Saya Anak Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS