Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal sebar fitnah dicipta PAS - Pemimpin Pemuda DAP
Diterbitkan:  Oct 26, 2024 9:58 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Seorang pemimpin Pemuda DAP menempelak Dr Akmal Saleh susulan respons ketua Pemuda Umno itu terhadap isu bendera China dikibarkan semasa festival Guan Gong di Teluk Intan, Perak, yang disifatkan mengikut rentak pembangkang.

Dalam satu kenyataan, Ho Chi Yang, yang merupakan pengarah biro hal ehwal varsiti Pemuda DAP, mendakwa kenyataan Akmal itu hanya meneruskan khabar angin yang disebarkan oleh PAS berhubung festival kebudayaan Guan Gong dan mencetuskan ketegangan kaum.

“Sebagai anggota kerajaan perpaduan dan ahli eksekutif kerajaan negeri Melaka, Akmal tidak bertindak sewajarnya atau dengan profesionalisme.

“Sebaliknya, dia telah bertindak dengan niat jahat dengan membangkitkan khabar angin tidak berasas yang dicipta oleh PAS pada awalnya.

"Kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu mencemarkan nama baik masyarakat Cina Malaysia, mewujudkan ketegangan kaum yang tidak perlu, dan menjejaskan perpaduan di kalangan semua kumpulan etnik," kata Ho.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata itu juga mengkritik Akmal kerana kerap mengarahkan anggota Pemuda Umno membuat laporan polis, yang katanya sering menyebabkan agensi penguatkuasaan undang-undang terpaksa mengalihkan sumber sedia terhad untuk mengendalikan "drama politik yang tidak masuk akal".

Difahamkan, Ho merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang menuduh penganjur dan peserta festival itu tidak patriotik dan boleh ditafsirkan sebagai mencabar kedaulatan negara.

Razman juga menuduh DAP, khususnya Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming terlibat dalam insiden itu. Nga menafikan dakwaan itu dan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis terhadap Razman.

Susulan kejadian itu, penganjur festival Persatuan Kebudayaan Guan Gong telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang dirakam mengibarkan bendera adalah warga China dan bukan warga Malaysia.

Selepas itu, Akmal mengeluarkan respons di Facebook menyatakan rasa marahnya terhadap kejadian itu, di mana dia turut menolak permohonan maaf persatuan berkenaan.

“Apa kejadahnya? Nak buat perarakan di tempat awam, dah lah tak ada permit, angkat bendera China, tak ada langsung satu pun bendera Malaysia di situ. Cukup-cukuplah," kata Akmal.

Merujuk kepada satu lagi kejadian baru-baru ini di sebuah sekolah di Pulau Pinang, Akmal menegaskan permohonan maaf tidak lagi mencukupi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS