Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PLKN 3.0 dilaksana mulai Januari 2025, libatkan 500 peserta

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun depan, kata Timbalan  Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Adly berkata program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

"Pada tahun hadapan, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk memulakan PLKN 3.0. Kalau ikut perancangan awal (bermula) pertengahan 2025 tetapi terdapat keperluan untuk dilaksanakan lebih awal.

"Kita tumpukan di dua kem untuk dijadikan projek perintis PLKN 3.0 sebelum dilaksanakan secara lebih besar pada Jun tahun hadapan," katanya kepada pemberita di Hutan Percha di Alor Gajah, Melaka hari ini.

Dia berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Peringkat Melaka yang turut dihadiri Panglima 3 Divisyen Mej Jen Zahari Mohd Ariffin.

Adly berkata jumlah peserta PLKN 3.0 akan ditambah pada pengambilan Jun dengan menyasarkan peserta berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Terdahulu, Adly yang juga ahli Parlimen Alor Gajah berkata menerusi Projek Jiwa Murni di negeri itu, sebanyak 10 rumah golongan asnaf dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibaik pulih dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas dengan peruntukan RM138,500.

Dia berkata pembaikan berkenaan melibatkan lima rumah di Parlimen Alor Gajah dan lima lagi di Parlimen Tangga Batu.

"Program Jiwa Murni ini dilaksanakan selari dengan pengukuhan Teras 4 Pelan Strategik Mindef 2021-2025 iaitu memperkukuh kerjasama awam dan tentera serta perintah ulung Panglima Tentera Darat di dalam Teras Kelima iaitu keutuhan hubungan tentera dan awam.

"Projek ini wajar diteruskan sebagai sebahagian daripada inisiatif Madani Kementerian Pertahanan, sejajar usaha kementerian mengangkat visi Malaysia yang 'ihsan', iaitu bersama-sama dengan agensi lain memperjuang keperluan masyarakat yang kurang bernasib baik terutamanya di luar bandar," katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS