Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa gesa tubuh RCI siasat kes serangan dikaitkan kerabat

Dengan dua individu masih menunggu keadilan berhubung dakwaan serangan kerabat raja, peguam Latheefa Koya menggesa kerajaan membentuk suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat kedua-dua kes berkenaan.

“RCI adalah perlu kerana organ biasa (sistem) keadilan jenayah telah gagal menjalankan tugasnya.

“Selain itu, RCI adalah wajar kerana ia adalah perlu untuk mengetahui sebab mengapa polis dan peguam negara tidak menjalankan tugas.

"Hanya RCI yang mempunyai kuasa untuk memanggil ketua polis dan menteri dalam negeri untuk memberikan jawapan," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 17 Okt lepas, seorang pekerja pembinaan jalan raya, Alias Awang melahirkan rasa kecewa kerana tindakan masih belum diambil terhadap penyerangnya, termasuk kerabat diraja Pahang, yang dikatakan menikam dan menembaknya pada 6 Jun lalu di Kuantan.

Insiden itu yang pertama kali dilapor oleh Malaysiakini pada 5 Sept, turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang menggesa polis bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Pada 22 Okt, Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) melancarkan petisyen dalam talian menuntut keadilan terhadap pemandu Ong Ing Keong, yang didakwa diserang oleh seorang polis pengiring pada 28 Mei ketika mengiringi seorang kerabat diraja Johor.

Kumpulan itu menuntut pendakwaan segera terhadap pegawai terbabit dan siasatan bebas terhadap dakwaan salah pengendalian kes itu.

Ia juga menggesa peguam negara dan perdana menteri memberi penjelasan jelas berhubung kekurangan tindakan berhubung kes itu meski selepas Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri menggesa keadilan ditegakkan.

Sehubungan itu, Latheefa berkata petisyen yang dimulakan oleh Dawn adalah petanda bahawa kedaulatan undang-undang telah rosak di Malaysia.

Dia juga berkata kerajaan gagal melaksanakan kewajipan memastikan keadilan ditegakkan menyebabkan rakyat biasa, aktivis dan peguam terpaksa memainkan peranan yang diabaikan kerajaan.

“Akibatnya ialah hilang keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan dan sikap sinis terhadap institusi negara,” tambah bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Latheefa turut menempelak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dengan berkata kedua-duanya bertanggungjawab atas kegagalan mendakwa pegawai polis yang didakwa menyerang Ong.

“Peguam Negara mempunyai kewajipan perlembagaan di bawah Perkara 145 (Perlembagaan Persekutuan) untuk mendakwa pesalah.

"Kegagalannya berbuat demikian dalam kes ini meski terdapat rakaman video serangan itu adalah pelanggaran kewajipannya yang diamanahkan oleh Perlembagaan," katanya.

Memandangkan identiti anggota polis itu diketahui, Latheefa berkata tiada alasan untuk tidak memulakan pendakwaan terhadap pesalah yang didakwa.

“Tiada tindakan berlarutan akan mendedahkan Jabatan Peguam Negara kepada rasa jijik dan cemuhan orang ramai. Sementara itu, menteri dalam negeri, sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas polis, memikul tanggungjawab yang sama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS