Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cikgu Din ditempatkan sementara di Kelantan untuk temani isteri - Fadhlina

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menempatkan sementara guru Izzuddin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya ke sekolah yang berhampiran, di Kelantan seperti yang dimohon.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penempatan sementara itu dibuat supaya beliau dapat melaksanakan tugasan, dan pada masa sama menemani isterinya yang disahkan menghidap kanser tahap empat.

Fadhlina berkata proses perbincangan antara Cikgu Din dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Sarawak serta KPM berjalan dengan baik.

“Isu Cikgu Din ini, kita akan uruskan dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah kita akan bagi ruang untuk beliau bersama dengan isterinya melalui arahan penempatan sementara dan ia bertujuan untuk memastikan beliau dapat bersama dengan isterinya dalam tempoh yang amat memerlukan ini.

“Jadi, kita doakan sekali lagi supaya Cikgu Din diberikan kekuatan dan kesabaran serta isterinya diberikan kesembuhan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan MADANI dan Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat MADANI di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di Nibong Tebal hari ini.

Fadhlina mengulas mengenai kisah tular Cikgu Din yang diuji dengan masalah kesihatan isterinya yang disahkan menghidap kanser, dan beliau didakwa telah memohon pertukaran di Semenanjung untuk bersama isterinya namun permohonan berkenaan ditolak.

Pada Khamis lepas, KPM memaklumkan pihaknya mengambil tindakan segera bagi memberi bantuan kepada guru berkenaan, dan telah diberikan cuti untuk berada bersama isterinya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menyangkal dakwaan kononnya kerajaan hanya mengambil tindakan selepas sesuatu isu tular di media sosial, kerana menurutnya proses perbincangan dan langkah alternatif yang ditawarkan kepada guru berkenaan telah berlangsung sebelum itu.

Fadhlina berkata KPM akan memberikan perhatian penuh terhadap semua isu berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada, dan beliau menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang empati dengan keadaan Cikgu Din.

Sementara itu, Fadhlina meminta semua pihak agar mengambil tanggungjawab penuh terhadap garis panduan yang dikeluarkan KPM bagi menangani isu gangguan seksual di institusi pendidikan kerana sekolah adalah tempat selamat, dan pihaknya mahu memastikan seluruh ekosistem sekolah mendukung aspek keselamatan murid dan pelajar.

“Kita minta pihak sekolah untuk memastikan aduan itu benar-benar ditangani dengan integriti, jadi tidak perlu takut untuk tampil, dan melakukan proses aduan itu kerana berdasarkan garis panduan itu, ia harus dipatuhi dan diikuti oleh semua pihak,” tegasnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS