Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Negara tetap tanggung kerugian walau Najib mohon maaf - AMK
Diterbitkan:  Oct 26, 2024 2:16 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Pemuda PKR (AMK) menegaskan tindakan tegas berlandaskan prinsip undang-undang perlu terus diambil, walaupun dengan permohonan maaf bekas perdana menteri Najib Razak atas skandal 1MDB.

Pemuda PKR berkata permohonan maaf itu tidak akan memulihkan kerugian yang ditanggung negara.

"Permohonan maaf ini (juga) tidak boleh menjadi pelindung bagi mana-mana pihak untuk mengelak daripada tanggungjawab yang lebih besar atas kecurangan yang telah dilakukan.

"Kepentingan awam dan keadilan untuk rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi. Permohonan maaf semata tidak akan memulihkan kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia. 

"Mereka yang terpaksa menghadapi kesan daripada skandal ini tidak boleh diabaikan,” kata Pemuda PKR dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf Najib.

Umno pula berkata ia menunjukkan Najib sebagai seorang yang berjiwa besar dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut, AMK menuntut kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan tindakan tegas diteruskan dan semua yang terlibat, tanpa mengira status atau kedudukan, dibawa ke muka pengadilan.

Sayap PKR itu menegaskan usaha memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran awam perlu diutamakan demi menjaga kepercayaan rakyat.

"1MDB bukan sahaja mencemarkan nama baik negara, tetapi juga mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat. 

"Rakyat berhak untuk melihat keadilan ditegakkan dan mengembalikan maruah negara yang telah dicemari," kata AMK lagi.

Dua hari lalu, Najib yang juga bekas presiden Umno memohon maaf secara terbuka atas skandal 1MDB, namun kekal menyatakan dia tidak bersalah.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya Nizar, Najib mendakwa diperdaya oleh ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid.

Pada masa sama, Najib juga mengakui dia sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza bagi menangani skandal 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS