Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jangan jadikan cadangan lantik ahli majlis dalam DBKL isu perkauman’
Diterbitkan:  Oct 26, 2024 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

PAS dinasihatkan untuk berhenti memainkan sentimen perkauman berhubung cadangan pelantikan ahli majlis dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sama seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Kuala Lumpur Iskandar Fareez berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Azmer Syazwan Ahmad Suparmin yang cadangan itu sebagai usaha untuk mewujudkan pilihan raya PBT.

Dalam kenyataan hari ini, Iskandar menyuarakan rasa kesal dengan kenyataan itu, dan menyifatkan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) ingin menafikan hak penduduk Kuala Lumpur untuk memiliki perwakilan tempatan sendiri.

Dia berkata, DBKL hanya mempunyai lembaga penasihat dan Kuala Lumpur juga tiada Adun seperti di negeri-negeri lain.

“Hal ini menyukarkan urusan perkhidmatan dan aduan kawasan kerana hanya tertumpu kepada 11 ahli Parlimen yang perlu berkhidmat untuk 1.98 juta penduduk Kuala Lumpur,” katanya, sambil membandingkan dengan negeri lain yang memiliki ahli majlis dan Adun walaupun dengan jumlah penduduk yang lebih kecil.

“Melihat kepada data-data sedia ada, jelaslah DPPWP tidak langsung mengambil berat akan keperluan penduduk KL tapi lebih berminat untuk bermain politik. 

“Memandangkan mereka begitu keras membantah konsep pilihan raya PBT, adakah DPPWP akan menyokong jika ahli majlis diwujudkan secara lantikan kelak?” soalnya lagi.

Pada 18 Okt lalu, lidah rasmi PAS Harakahdaily melaporkan kenyataan Azmer yang mengkritik cadangan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 bagi membolehkan pelantikan ahli majlis dalam DBKL.

Dia berkata pilihan raya kerajaan tempatan sebelum ini dimansuh kerana berlakunya ketidakseimbangan kaum dalam PBT, dan mendorong kepada “diskriminasi antara kaum, kekayaan ekonomi yang tidak stabil dan membuka ruang kepada aktiviti jenayah seperti rasuah untuk berlaku”.

Pelantikan ahli majlis dalam DBKL antara resolusi utama diluluskan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada konvensyennya yang diadakan 13 Okt lalu.

Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai berkata ia merupakan langkah awal ke arah reformasi yang lebih meluas.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, yang turut hadir ke konvensyen, menyifatkannya sebagai cadangan yang baik namun ia akan dirujuk kepada majlis kepimpinan PH terlebih dahulu, sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi dalam kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS