Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami isteri maut langgar jentera korek tanah di bahu jalan
Diterbitkan:  Oct 26, 2024 11:54 AM
Dikemaskini: 4:29 AM

Pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama isteri maut selepas kenderaan SUV yang dinaiki mereka terlanggar jentera pengorek jalan berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Pahang, awal pagi tadi. 

Mangsa, Mohd Fadli Mohd Abidin, 42, dan isteri, Rohafiza Taha, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah kesan rempuhan itu. 

Anak mereka, Mohd Osman Wafi yang berusia 11 tahun pula cedera parah di muka dan kepala, dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ia dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu yang berkata kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar jam dua pagi tadi.

"Ketika kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Kemaman, Terengganu. 

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai tidak menyedari jentera pengorek tanah berada di bahu sebelah kiri jalan dan merempuh bahagian jentera itu. 

"Akibat rempuhan kuat, mangsa dan isteri mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Mohd Zahari memaklumkan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan untuk bedah siasat, dan anak mereka juga dibawa ke sana untuk rawatan.

Katanya, berdasarkan alamat diperoleh daripada siasatan awal, pasangan itu menetap di Taman Geliga Besar, dekat Kemaman, Terengganu. 

"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Sementara itu, pusat gerakan operasi JBPM Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 2.13 pagi. 

"Dua jentera bersama lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas terbabit dalam operasi mengeluarkan mangsa. 

"Mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat khas sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS