WAWANCARA | Setiausaha Agung PKR yang baru, Fuziah Salleh berikrar tidak akan membiarkan fahaman berpuak-puak memecah-belahkan parti itu sekali lagi.
Fuziah berkata dia melihat episod 'kartel' yang hampir memecahbelahkan PKR sebelum ini sebagai pengalaman berharga yang telah dipelajari parti itu.
"Saya boleh terima kepelbagaian tetapi saya tidak bertolak ansur terhadap fahaman berpuak-puak, kerana ia memecahbelahkan," kata Fuziah dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.
Timbalan menteri itu mengimbas keadaan ketika PKR berpecah kepada dua kumpulan antara penyokong presiden, Anwar Ibrahim, dan kumpulan yang menyokong timbalannya, Azmin Ali atau lebih dikenali sebagai 'kartel'.
Azmin dan penyokongnya pada masa itu menguasai banyak jawatan penting dalam PKR, sebelum bertindak keluar daripada parti itu beramai-ramai ketika episod 'Langkah Sheraton' pada 2020, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.
Menurut Fuziah, insiden itu juga menyebabkan PKR berada dalam keadaan kucar-kacir, apabila ramai pemimpin dari pelbagai peringkat yang menyokong Azmin turut bersamanya meninggalkan parti itu.
Menyifatkan dirinya "mengatasi fahaman berpuak," Fuziah berkata dia tidak gemar melihat ahli parti berpecah kepada kem-kem tertentu dan memberikan kesetiaan membuta tuli kepada pemimpin.
"Saya rasa ini juga kelebihan untuk saya sebagai setiausaha agung parti sebab sepanjang saya dalam parti saya tak pernah dilihat berpihak kepada mana-mana kem.
"Malah ketika saya memenangi jawatan naib presiden (pada 2010), saya tidak pernah berpihak kepada sesiapa. Jadi, itu beri kelebihan kepada saya," katanya.
Pada pemilihan PKR 2018, Fuziah bertanding untuk jawatan ketua wanita PKR dan berada di bawah kem atau ‘cai’ Rafizi Ramli.
Fuziah bagaimanapun mempertahankan tindakan tersebut dengan mengatakan terdapat keperluan pada masa itu untuk menentang kartel.
Sikap berpuak-puak masih menebal dalam pemilihan PKR pada 2022, terutama apabila bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador, cuba mengumpulkan sokongan untuk menentang Rafizi dan bekas penyokong Azmin seperti Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Penstrukturan parti
Mengulas mengenai perancangannya sebagai setiausaha agung baru, Fuziah berkata dia sedang melaksanakan usaha penstrukturan semula pentadbiran bagi memperkukuhkan gerak kerja parti.
Ia katanya, bagi menyelaraskan arahan dan akan turut melibatkan rombakan dalaman membabitkan petugas parti.
"Sekarang kita telah mencapai fasa di mana kita melakukan penstrukturan semula dan rombakan. Kena match skill sets yang diperlukan.
"Jadi membawa kepada pegawai-pegawai muka baru, muka lama restructure sikit line of command supaya lebih clear dan mudah difahami dan dilaksana.
"Lepas ni baru lihat perkara-perkara seperti aduan, kenapa lambat nak jadi ahli, permohonan, tukar cabang dan sebagainya,” katanya.
Menurut Fuziah, dia juga mahu memanfaatkan unit komunikasi PKR bagi memperkukuh gerak kerja dan menyampaikan mesej parti itu di media sosial.
Menurutnya, unit tersebut, yang berada di bawah setiausaha agung boleh menggembleng ahli PKR dan sukarelawan yang bersedia menyumbang kepakaran mereka dalam parti.
"Ini antara perkara saya kira perlu perkukuhkan. Saya lihat kita ada banyak sumber dan ada banyak sukarelawan yang mahu menyumbang untuk perkukuhkan parti yang mungkin sebelum ni tak dapat digembleng.
"Sukarelawan ramai, tapi saya mesti letakkan mereka di tempat yang betul. Itulah sebabnya mengapa rombakan ini sangat penting," katanya.