Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mesti pandang jauh' - Wee jawab isu pelantikan sebagai penasihat
Diterbitkan:  Oct 26, 2024 8:39 AM
Dikemaskini: 1:50 AM

Presiden MCA, Wee Ka Siong, menggesa ahli-ahli parti itu supaya berpandangan jauh berhubung pelantikannya sebagai penasihat pelaburan China.

Ini selepas beberapa pemimpin MCA menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan tersebut, yang dianggap sebagai satu peranan yang tidak bermaruah dan satu tamparan bagi Wee.

Wee berkata, sebagai presiden MCA, dia berasa terdorong untuk memanfaatkan hubungan parti itu dengan kerajaan China selama bertahun-tahun, dan menjadikannya sebagai platform untuk mempromosikan hubungan baik dan kerjasama antara kedua-dua negara.

"Apakah ini juga satu dosa? Move on! Tak perlu berfikiran sempit. Kita mesti berpandangan jauh. MCA sedia untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Jika pemimpin negara dan sesiapa saja ada keyakinan, percaya bahawa MCA boleh membantu mereka apa jua bidang, maka kami dengan sedaya upaya akan membantu berdasarkan kepada kemampuan kita. Move on!" katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun Facebooknya malam tadi.

Pada 20 Okt lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Wee sebagai penasihat pelaburan bagi warga dan syarikat China.

Pengumuman tersebut dibuat semasa Zahid merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA.

Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker dan beberapa pemimpin MCA yang lain berkata pelantikan itu tidak sepadan dengan kedudukan Wee sebagai presiden MCA.

“Kita perlu melihat persediaan untuk pilihan raya umum akan datang, yang penting bagi MCA dan kerajaan campuran.

“Kita harus memberi tumpuan untuk mencipta generasi pemimpin akan datang. Ini mesti menjadi fokus utama kita, bukan meneroka peluang perniagaan,” kata Li yang mengatakan Wee lebih wajar dilantik sebagai duta khas dengan pangkat menteri.

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Wee berkata dia terkejut dengan pengumuman Zahid kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak memberitahunya terlebih dahulu atau memberikan sebarang isyarat.

"Jadi, saya hanya mampu membalas dengan senyuman," katanya.

Wee berkata pelantikan tersebut tidak disertakan dengan surat pelantikan daripada kerajaan, kerana ia bukanlah jawatan yang disenaraikan dalam belanjawan persekutuan.

Dia juga berkata ini bukan kali pertama dia diminta untuk membantu membina hubungan dengan China dan menarik pelaburan daripada negara itu pada masa ini.

Ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjemputnya menyertai delegasi ke China pada Mac tahun lepas, Wee berkata dia turtu serta dalam rombongan itu dengan rela hati dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.

Namun, katanya, dia dikritik hebat oleh ahli parlimen DAP sekembalinya ke tanah air.

Pada bulan Sept tahun ini, Wee menyertai Zahid dalam lawatan ke Shanghai atas jemputan presiden Umno itu untuk bertemu usahawan China yang berminat untuk melabur dalam industri halal Malaysia.

Semasa lawatan tersebut, katanya, Zahid secara santai melantiknya sebagai penasihat dan memintanya menjawab soalan daripada bakal pelabur dalam Bahasa Mandarin.

"Apabila wartawan Malaysia di Shanghai bertanya kepada saya butiran tentang butiran pelantikan dan ini dan itu, saya berkata, sebagai presiden MCA, jawatan ini sudah memadai bagi saya untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

"Gelaran lain tidak diperlukan pun. Saya tetap berkhidmat sebagai presiden MCA," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS