Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sedang mengesan Tabib Adam atau nama sebenarnya Adam Isa bagi membantu siasatan berkaitan amalan dan aktiviti perubatan yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Rahmad Mariman (gambar) berkata usaha menjejaki pengasas Pusat Terapi Tabib Adam di Kampung Lekok di Masjid Tanah di sini yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga Tabib Adam M Isa itu turut dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata difahamkan lelaki itu sebelum ini telah pulang ke Singapura dan masuk semula ke negara ini, namun gagal dikesan sehingga hari ini.

"Anggota penguat kuasa JAIM dengan kerjasama beberapa pihak berkuasa telah memeriksa dan menggeledah pusat rawatan dan tempat jualan ubat selain di rumah Adam dalam operasi antara 11.30 pagi hingga 3 petang semalam tetapi premis itu telah ditutup dan usaha mengesan Adam serta isterinya tidak berjaya.

"Selain itu, usaha Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) menghubungi pasangan suami isteri berkenaan menerusi panggilan telefon juga gagal kerana tidak dijawab," katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru beliau meminta Adam memberikan kerjasama untuk hadir ke JAIM bagi tujuan membantu siasatan berhubung kes terbabit manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki tersebut diminta menyalurkan menerusi talian 017-2661280.

Rahmad berkata ketika serbuan dijalankan di pusat rawatan berkenaan, dua anak Adam dan dua pekerja wanita berada di premis berkenaan manakala pelbagai barang kes telah disita antaranya papan tanda di pintu gerbang atau pagar masuk, buku resit, ubat-ubatan dan risalah berkaitan produk kesihatan.

Beliau berkata dua pekerja wanita berusia 38 dan 44 tahun itu ditahan manakala anak lelaki dan perempuan Adam turut diperintah hadir ke JAIM bagi membantu siasatan.

"Operasi dijalankan selepas JAIM menerima aduan awam yang mendakwa pusat perubatan itu masih beroperasi walaupun telah ada fatwa pengharaman yang diwartakan oleh Kerajaan Melaka," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah memutuskan bahawa amalan dan aktiviti perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau Pusat Terapi atau apa-apa nama amalan dan aktiviti perubatan Iain yang dikaitkan dengan Adam Isa dan pengikutnya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah.

Amalan dan aktiviti perubatan ini juga bercanggah dengan Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS