Permohonan maaf Najib Razak atas skandal 1MDB menunjukkan bekas perdana menteri itu seorang yang berjiwa besar dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, kata Umno.
“Tindakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang tidak terniat ini sudah tentunya menunjukkan peribadi luhur yang murni serta kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Rakyat dan Negara.
“Umno dan seluruh ahlinya memanjatkan doa ke hadrat Allah agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan dalang utama yang sebenar di dalam kes SRC dan 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu senada dengan kenyataan Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, yang yakin permohonan maaf Najib itu dibuat dengan “suci hati serta lahir dari sanubari” yang ikhlas.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula berkata dia menerima baik permohonan maaf Najib.
Bagaimanapun, bukan semua tersentuh dengan tindakan Najib semalam.
Bekas ahli Parlimen Damansara Tony Pua, yang juga antara pengkritik 1MDB paling lantang, menyindir permohonan maaf itu dan membangkitkan bagaimana Najib didakwa mendapat manfaat daripada penyelewengan dalam 1MDB dan berusaha untuk menutup skandal itu.
Peguam dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pula berkata bukan kuasa dan urusan Anwar untuk menerima permohonan maaf Najib.
"Oleh kerana Najib masih menegaskan dia tidak bersalah, penerimaan Anwar itu membenarkan jenayahnya.
“Ia memberanikan golongan korup, memperlekeh mahkamah, dan merendahkan SPRM,” katanya.
‘Diperdaya’
Semalam, dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Nizar, Najib membuat permohonan maaf atas skandal 1MDB yang berlaku ketika dia memimpin negara, namun kekal menyatakan dia tidak bersalah.
Dia mendakwa diperdaya oleh ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid.
Najib juga mengakui dia sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza bagi menangani skandal 1MDB.
Walaupun telah mengarahkan pelbagai siasatan dibuat, katanya, dia lebih mempercayai penjelasan lembaga pengarah dan pengurusan 1MDB.
Dia juga berkata telah dihukum dari segi politik dan justeru tidak sepatutnya menjadi “mangsa dari segi undang-undang”.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Namun Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukumannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Selain kes SRC International, Najib juga masih berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan kes 1MDB.
Kes-kes tersebut adalah kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, kes pecah amanah jenayah berkaitan International Petroleum Investment Company berjumlah RM6.6 bilion, kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.