Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengarahkan pegawainya membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.
Pemimpin DAP itu menuduh Razman yang juga Adun Gunung Semanggol membuat dakwaan fitnah dengan mengatakan dia merasmikan festival kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan, Perak.
“Saya mesyuarat dekat Kuala Lumpur. Macam mana saya ada boleh pergi dua tempat pada masa tepat? Jelas ini adalah satu pembohongan.
"Lepas itu, dia kata kita yang endorse (sokong). Ini bukan anjuran kita pun. Jadi jelas, ini adalah satu fitnah. Saya telah arahkan pegawai khas saya di Teluk Intan untuk buat laporan polis," katanya.
Nga, yang merupakan pengerusi DAP Perak, mendakwa PAS Perak sengaja cuba mencetuskan kebencian dan sentimen perkauman.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Razman menggesa polis menyiasat menteri dan exco negeri berhubung perarakan itu selepas sebuah klip video memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera China dalam acara berkenaan.
Persatuan Kebudayaan Guan Gong, yang menganjurkan acara itu, telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang dirakam mengibarkan bendera adalah warga China dan bukan warga Malaysia.
Mengulas lanjut, Nga berkata dia merasmikan Pesta Tanglung pada 13 Sept.
“Semua orang betul-betul puji tapi tiba-tiba pula ini dikaitkan dengan kejadian perarakan itu, saya rasa semalam. Jika tidak silap saya, semalam.
"Jadi semalam adalah 24 Oktober. Pesta Tanglong saya 13 hari bulan Oktober. Pesta Tanglong saya 13 hari bulan September, takkan dia tak baca buku? September dan Oktober pun dia tak dapat bezakan.
Menjawab soalan pemberita, Nga berkata negara semakin pulih daripada kemelut politik dan menikmati kestabilan pada masa ini.
“Saya merayu kepada semua pihak termasuk parti pembangkang haruslah menghargai, menghargai kestabilan yang kita ada ini supaya semua pihak tumpu menyokong usaha perdana menteri untuk membangun semula tanah air kita.
"Khususnya fokus kepada menarik pelaburan dan juga pertumbuhan ekonomi supaya pendapatan rakyat meningkat, kualiti hidup rakyat juga meningkat. Itu fokus utama kita.
"Jangan sikit-sikit, belum dapat lagi, fitnah lagi. Fitnah demi fitnah. Kita lihat macam Razman, berapa kalilah dia dah fitnah. Sebelum ini, dia fitnah perdana menteri sebagai LGBT. Lepas tu, tarik balik. Lepas tu, mohon maaf. Itu memang jadi SOP mereka. Lepas fitnah kena dakwa mohon maaf. Tarik balik," katanya.
Nga berkata, rakyat harus sedar Perikatan Nasional muflis idea dan menolak pakatan pembangkang.
Mengenai insiden kibar bendera China, menteri itu merujuk permohonan maaf penganjur dan menyatakan bahawa ia adalah kesilapan yang tidak disengajakan.
“Saya harap pihak tokong dan juga pihak penganjur akan lebih sensitif. Dan saya juga mahu warga asing kena menghormati undang-undang negara kita,” katanya lagi.
Permohonan maaf itu bagaimanapun gagal menenangkan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mahu tindakan tegas diambil.
Polis mengesahkan perarakan itu tidak memenuhi syarat untuk mengadakan perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sementara itu, China Press melaporkan bahawa acara yang dikaitkan dengan Festival Kebudayaan Guan Gong Sedunia telah dibatalkan saat-saat akhir.
Jamuan makan malam itu dijadualkan berlangsung di dewan sekolah di Teluk Intan pada pukul 7 malam ini, tetapi penganjur memaklumkan pembatalan itu pada pukul 5 petang.
Gambar tempat itu menunjukkan sebuah dewan kosong dengan lebih daripada 50 meja disediakan untuk jamuan.
Laporan itu berkata pembatalan itu dipercayai ada kaitan dengan kekecohan susulan insiden perarakan semalam dan tindakan mengibarkan bendera China.