Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kami tiada kaitan dengan GISBH, pulangkan bayi kami’

Sepasang suami isteri mendakwa anak mereka telah ditahan semasa Op Global di sebuah rumah amal di Rasah, Negeri Sembilan pada 11 September lalu, walaupun mereka tiada kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Justeru, pasangan itu, Amar Hatta, 27, dan Nur izati Ahmad, 25, meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memulangkan semula bayi perempuan tersebut, yang berusia kira-kira setahun, kepada mereka.

Menceritakan semula kejadian itu, Nur Izati berkata dia hanya bekerja sebagai tukang masak di rumah amal tersebut, dan membawa anaknya bersama ketika serbuan dibuat.

“Mula-mula JKM ingat saya letak anak di situ (untuk dijaga). Saya jelaskan yang saya tukang masak di situ. Namun anak saya diambil semasa operasi. 

“Anak saya di bawah jagaan JKM sejak 11 September lepas. Tuduhan terhadap saya adalah berkenaan pengabaian.

“Saya minta pulangkan bayi saya. Kami tak ada kaitan dengan GISBH,” dakwanya ketika dalam sidang media di pejabat Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri memaklumkan seramai 560 kanak-kanak yang diselamatkan telah ditempatkan di bawah jagaan JKM manakala dua lagi dikembalikan kepada keluarga atau penjaga.

Ia selepas JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan, katanya lagi.

Sementara itu, Amar berkata dia sudah dua kali ke JKM untuk mendapatkan perkembangan anaknya.

Dalam kunjungan itu, dakwanya, dia tidak dibenarkan bertemu anaknya, sebaliknya hanya ditunjukkan gambar.

"Saya sudah berhubung dengan JKM Cheras dan mereka kata anak saya telah diasingkan dan akan dipulangkan," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden PRM Ahmad Jufliz Faiza menggesa pihak berkuasa agar segera memulangkan bayi berkenaan yang masih lagi menyusu.

Dia menyifatkan tindakan memisahkan bayi tersebut daripada ibu bapanya adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Saya fokus untuk anak dia (Amar dan Nur Izati) dibebaskan serta-merta,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS