Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengemukakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh jururawat mengenai pakaian seragam berkualiti rendah yang dikeluarkan kepada mereka dalam mesyuarat Kabinet.
Dalam sidang media hari ini, menterinya Dzulkefly Ahmad memberi jaminan bahawa pentadbiran peringkat tertinggi kerajaan bersedia menangani perkara itu dan menyediakan syarat bekerja terbaik untuk penjawat awam dalam sektor kesihatan.
“Saya perlu mendengar mereka (kebimbangan yang dibangkitkan), dan saya perlu menanganinya secara positif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan supaya segera menangani isu berlarutan mengenai fabrik berkualiti rendah yang dikeluarkan kepada jururawat untuk pakaian seragam mereka.
Sebelum kenyataan Cuepacs, Ahli Parlimen DAP Lim Guan Eng membangkitkan nasib para jururawat kerajaan yang didakwa dibekalkan dengan fabrik yang tidak berkualiti untuk membuat pakaian seragam mereka, dengan ada yang mendermakannya untuk dijadikan “kain kafan”.
Lim berkata dalam ucapan perbahasannya bahawa isu itu baru-baru ini diketengahkan oleh Senator Dr RA Lingeshwaran, dan menggesa KKM mendedahkan syarikat yang bertanggungjawab membekalkan bahan itu dan sama ada sebarang tindakan telah diambil terhadap mereka.
Lim mendakwa ramai jururawat terpaksa menerima fabrik yang dibekalkan kepada mereka kerana menolak bahan tersebut akan menyebabkan mereka kehilangan kira-kira RM690 elaun, yang disediakan kerajaan untuk tujuan jahitan.
Pengerusi DAP itu kemudian menggesa Kementerian Kesihatan memberikan butiran lanjut kepada Dewan Rakyat berhubung kontraktor yang bertanggungjawab membekalkan bahan tersebut kepada tenaga kerjanya.