Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukan urusan Anwar terima maaf Najib'
Diterbitkan:  Oct 25, 2024 5:32 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf Najib Razak berhubung skandal 1MDB mengundang kritikan.

Peguam Latheefa Koya menempelak Anwar dengan mengatakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak mempunyai kuasa menerima permohonan maaf sedemikian.

"Bukan urusan dan kuasa PM untuk menerima permohonan maaf sebegitu. Bukan tugasnya.

"Oleh kerana Najib masih menegaskan dia tidak bersalah, penerimaan Anwar itu membenarkan jenayahnya.

“Ia memberanikan golongan korup, memperlekeh mahkamah, dan merendahkan SPRM,” kata bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu di laman X.

Latheefa Koya

Latheefa juga mempersoalkan sama ada penerimaan maaf itu merupakan permulaan untuk membebaskan Najib untuk tahanan rumah.

Sementara itu, dalam reaksi segera, bekas Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin yang juga pemimpin Amanah berkata penerimaan Anwar terhadap permohonan maaf Najib tidak mewakili semua orang.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata dalam catatan Facebook yang tegas: “Dengan hormatnya, saya tidak fikir anda mewakili kami semua.”

Anwar sebelum ini berkata dia "terima baik" permohonan maaf Najib.

Anwar berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai perkara itu selepas solat Jumaat hari ini di Putrajaya.

Semalam, Najib, dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon maaf kerana skandal 1MDB berlaku semasa pentadbirannya tetapi mengekalkan dia tidak bersalah.

"Setiap hari, saya berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Bekas perdana menteri itu juga memetik artikel The Edge yang diterbitkan awal bulan ini, yang menyorot bagaimana ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan eksekutif Petrosaudi Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menipu dana 1MDB.

Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan terlibat dalam prosiding undang-undang lain berkaitan 1MDB, mendakwa artikel itu menunjukkan dia diperdayakan.

“Rumusan daripada artikel The Edge menyatakan Petrosaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdaya saya. Saya tak sedar Petrosaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya langsung tidak mengetahui saya telah menerima wang daripada dana yang dihantar oleh 1MDB kepada Petrosaudi.

“Walaupun sukar untuk sesetengah pihak memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur percaya pada masa itu dana yang saya terima adalah sumbangan politik dari Arab Saudi,” katanya.

Walau bagaimanapun, artikel The Edge tidak membebaskan Najib sepenuhnya daripada kesalahan.

Artikel itu menyimpulkan bahawa Najib tidak mengetahui tentang kecurian dana 1MDB, tetapi hanya sehingga 2010 sekurang-kurangnya, dan mengenai kecurian AS$1.5 bilion daripada bon yang diperoleh pada 2009.

Artikel itu tidak membuat kesimpulan sama ada Najib kekal tidak tahu di kemudian hari.

Spekulasi juga timbul mengatakan bahawa keputusan kerajaan untuk merangka rang undang-undang tahanan rumah adalah berkaitan dengan Najib, yang hukuman penjaranya sekarang adalah atas kes SRC International.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan spekulasi itu dengan menegaskan rang undang-undang tahanan rumah itu tiada kaitan dengan mana-mana individu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS