Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukan salah saya': Tony Pua sindir permohonan maaf Najib
Diterbitkan:  Oct 25, 2024 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Tony Pua, seorang pengkritik terkenal skandal 1MDB, mengulas permohonan maaf bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung kontroversi tersebut dengan nada sinis.

Dalam satu hantaran di Facebook, tanpa menamakan bekas perdana menteri itu, Pua membangkitkan bagaimana Najib telah membenarkan penyelewengan yang didakwa berlaku, mendapat manfaat daripadanya, dan kemudiannya cuba untuk menutupinya.

Ini termasuk memecat timbalan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin; peguam negara, Abdul Gani Patail, dan pegawai penguatkuasaan undang-undang tertinggi bagi memudahkan usaha menutup skandal tersebut, termasuk dakwaan membeli barangan mewah untuk isterinya, Rosmah Mansor, dengan wang hasil daripada dana yang diseleweng.

Bekas ahli parlimen Damansara itu, yang mengejek kenyataan permohonan maaf Najib mengakhiri kenyataannya dengan berkata:

“Saya (merujuk Najib) tidak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan dan menganiaya pemberi maklumat 1MDB untuk menutup skandal 1MDB.

“Saya sudah menanggung akibat secara politik. Tidak adil untuk saya bertanggungjawab secara undang-undang atas perkara di atas.

“Saya hanya perlu katakan saya minta maaf kerana menjadi perdana menteri Malaysia yang paling bodoh dan paling lembab, kerana mempercayai pihak yang salah yang menipu rakyat Malaysia berbilion ringgit.

“Saya tidak sepatutnya berada di penjara, walaupun saya mendapat manfaat besar daripada hasil 1MDB, dalam bentuk wang tunai dan barangan.

“Itu bukan salah saya. Sungguh,” katanya.

Semalam, Najib mengeluarkan permohonan maaf atas skandal 1MDB tetapi menegaskan bahawa dia tetap tidak bersalah, dan tidak patut dihukum oleh mahkamah atas peranannya dalam skandal tersebut.

Sebaliknya, Najib mendakwa dia telah ditipu oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) dan eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid.

Najib berkata, walaupun dia telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan, namun dia cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.

Katanya, apabila dia mula curiga tentang apa yang berlaku dalam 1MDB, kebimbangan utamanya adalah kepada kedudukan kewangan dan risiko yang ditimbulkan terhadap hubungan politik dua hala.

Najib mengakhiri kenyataannya dengan mengatakan bahawa dia telah menghadapi hukuman atas tanggungjawab yang telah dia pikul walaupun jelas dia bukan dalang kepada skandal 1MDB.

"Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau sengaja benarkan adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikannya saya tidak bersalah,"kata Najib.

Kenyataan Najib itu dibacakan oleh anaknya, Nizar, di kompleks mahkamah Kuala Lumpur semalam, sebelum teks bertulis tersebut diedarkan kepada media.

Nizar kemudiannya meninggalkan bangunan tanpa menjawab soalan daripada pemberita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS