Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata bekas perdana menteri Najib Abdul Razak ada hak di sisi undang-undang untuk membuat kenyataan berhubung kes yang dihadapinya.
Haniff menjelaskan walaupun terdapat banyak pendapat mengenai permohonan maaf terbaru Najib, bukan semua aspek dalam perkara itu tertakluk kepada peraturan sub judice.
"Orang ramai salah faham yang permohonan maaf itu adalah permohonan maaf menyeluruh.
"Dia tidak mengaku bersalah atas suatu jenayah. Dia mengakui kesilapan sebagai ketua (namun) tidak dapat menyedari dan tanpa pengetahuannya membenarkan keadaan itu berlaku. Jadi itulah permohonan maafnya," kata Haniff ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Peraturan sub judice berkaitan batasan komen dan pendedahan mengenai prosiding mahkamah bagi mengelakkan prejudis ke atas isu yang sedang dibicarakan.
Semalam, dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Nizar, Najib membuat permohonan maaf atas skandal 1MDB yang berlaku ketika dia memimpin negara, namun kekal menyatakan dia tidak bersalah.
Najib juga merujuk artikel terbitan The Edge awal bulan ini, yang memperincikan bagaimana Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
'Sub judice hanya jika dibangkitkan di mahkamah'
Mengulas lanjut, Haniff berkata permohonan Najib Najib selari dengan kenyataannya semasa perbicaraan SRC dan dia berhak untuk merujuk kes pegawai Petrosaudi di Switzerland sebagai sebahagian daripada kenyataannya.
“Ada yang akan kata ‘tidakkah dia boleh bangkitkan keputusan PetroSaudi di mahkamah?’ Sekarang kes itu sudah berada di peringkat yang berbeza.
“Untuk dia betul-betul merujuk kes PetroSaudi, (dia) tidak boleh hanya merujuk kepada keputusannya tapi perlu, dari segi perundangan, membawa prosiding mahkamah Switzerland,” katanya lagi.
Daripada mempersoalkan sama ada kenyataan Najib itu dianggap sub judice atau tidak, Haniff berkata perkara yang perlu diberi tumpuan adalah jika Najib dapat membawa kes Petrosaudi dalam perbicaraan 1MDB.
“Jika secara undang-undang dia tidak boleh (membawa kes itu ke mahkamah), maka ia bukan sub judice.
“Ini sama dengan analisis oleh The Edge. Itu adalah pendapat wartawan atau mungkin melalui sumber lain. Pendapat tidak dapat menjadi bukti di mahkamah. Jadi Najib berhak merujuk kepada komen itu dalam kenyataan di luar mahkamah,” katanya lagi.
Jangan buat kesimpulan awal
Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan berdepan beberapa lagi pendakwaan berkaitan 1MDB, mendakwa artikel The Edge menyokong kenyataanya bahawa dia telah diperdaya.
Bagaimanapun artikel The Edge yang disebut Najib tidak menyatakan dia tidak bersalah sepenuhnya.
Artikel itu ada menyatakan Najib tidak sedar penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB, tapi sekurang-kurangnya hanya sehingga 2010, dan berkenaan penyelewengan AS$1.5 bilion daripada bon yang diterbitkan pada 2009.
Kata Haniff lagi, dengan membuat analisis sebelum perbicaraan tamat, The Edge telah membuka ruang untuk kenyataan Najib.
Dia menyerahkan persoalan tentang gangguan kepada prosiding kepada pihak pendakwaan.
“Kita tunggu pihak pendakwaan memfailkan prosiding hina mahkamah dan biar mahkamah menentukan sama ada ia menghina atau tidak.
“Tetapi untuk orang awam - anda, saya dan lain-lain, yang tiba-tiba memberi komen tentang perkara ini, kita perlu faham bahawa proses undang-undang adalah adil.
“Sehingga pihak pendakwaan membuat keputusan, tidak adil bagi mana-mana orang awam untuk kata Najib salah kerana membuat kenyataan itu. Malah, saya katakan dia ada hak undang-undang untuk membuat kenyataan itu,” katanya lagi.