Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf daripada Najib Razak berhubung skandal 1MDB.
"Terima baik, terima baik," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu selepas solat Jumaat di Putrajaya.
Semalam, Najib, dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon maaf kerana skandal 1MDB berlaku semasa pentadbirannya, tetapi mmepertahankan bahawa dirinya tidak bersalah.
“Setiap hari, saya berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Bekas perdana menteri itu juga menyebut artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang mendedahkan bagaimana Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan terlibat dalam prosiding undang-undang lain berkaitan 1MDB, mendakwa artikel tersebut merumuskan bahawa dia telah ditipu.
“Rumusan daripada artikel The Edge menyatakan Petrosaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdaya saya. Saya tak sedar Petrosaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya langsung tidak mengetahui saya telah menerima wang daripada dana yang dihantar oleh 1MDB kepada Petrosaudi.
“Walaupun sukar untuk sesetengah pihak memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur percaya pada masa itu dana yang saya terima adalah sumbangan politik dari Arab Saudi,” katanya.
Bagaimanapun artikel The Edge yang disebut Najib tidak menyatakan dia tidak bersalah sepenuhnya, seperti didakwa.
Artikel itu ada menyatakan Najib tidak sedar penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB, tapi hanya sehingga 2010 saja berkaitan penyelewengan AS$1.5 bilion daripada bon yang diterbitkan pada 2009.
Artikel itu tidak menyimpulkan jika Najib kekal tidak tahu tentang apa yang berlaku selepas itu.
Spekulasi juga bertiup kencang bahawa keputusan kerajaan untuk merangka satu rang undang-undang adalah berkait rapat dengan Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berkaitan kes SRC International.