Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ketimbang’ masuk Kamus Dewan Perdana edisi kedua
Diterbitkan:  Oct 25, 2024 2:11 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memasukkan perkataan ‘ketimbang’ dalam Kamus Dewan Perdana edisi kedua.

Ia selepas munculnya perdebatan meluas mengenai asal-usul perkataan yang dipopularkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan Madani 2025, baru-baru ini.

Perkataan itu dikatakan sebagai bahasa Indonesia dan tidak direkodkan dalam Kamus Dewan.

Keadaan itu menimbulkan polemik dalam kalangan pengguna media sosial khususnya yang mempersoalkan penggunaannya oleh Anwar.

Menurut DBP, ketimbang merupakan kata sendi nama yang membawa maksud “menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu”.

Badan pengelola bahasa kebangsaan itu melalui hantaran di Facebook semalam, turut memberikan contoh ayat penggunaan perkataan itu.

“Carian kata ini boleh dibuat melalui portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu melalui kategori kamus dalam talian dan kata ini juga akan dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua,” kata DBP.

Bagaimanapun DBP tidak memaklumkan bilakah kamus tersebut akan diterbitkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS