Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perarakan di Menara Condong tidak patuhi syarat - KP Perak

Polis mengesahkan perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera negara asing yang turut tular di media sosial, melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam, dan disertai kira-kira 400 penonton.

"Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan di Ipoh hari ini.

Azizi berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 12.39 tengah malam tadi.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Beliau juga menasihati mereka yang ingin menganjurkan perhimpunan agar menghantar permohonan kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan menggugat ketenteraman awam, dengan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda hingga RM10,000 mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, jika sabit kesalahan.

Hari ini, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh sekumpulan individu pada malam perarakan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan semalam.

Pengerusi persatuan itu Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS