Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas peguam 1MDB: Jho Low anggap anak tiri Najib kawan baik

Bekas bekas 1MDB, Jasmine Loo berkata dia percaya anak tiri kepada bekas perdana menteri, Najib Razak merupakan kawan baik kepada ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Jasmine Loo berkata, ia berdasarkan pertemuannya dengan Riza Abdul Aziz dalam satu percutian untuk bermain ski bersama Low di Whistler, Kanada antara penghujung 2012 dan awal 2013.

Dalam keterangan saksi bertulis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saksi bagi pihak 1MDB itu berkata dia bertemu Riza beberapa kali.

Keterangannya digunakan oleh 1MDB dalam tuntutan saman sebanyak AS$248 juta terhadap Riza, yang merupakan defendan pertama dan pembikin filem Hollywood, The Wolf of Wall Street pada 2013.

Soalan: Adakah kamu pernah melihat Jho Low dan defendan pertama bersama-sama?

Loo: Ya, saya percaya bahawa Jho Low menganggapnya sebagai kawan baik.

Soalan: Boleh kamu beri contoh mengapa kamu percaya mereka adalah kawan baik?

Loo: Ya, saya pertama kali bertemu defendan pertama dalam satu percutian bermain ski bersama Jho Low dan keluarganya di Whistler, Kanada, pada akhir Disember 2012 atau Januari 2013. Setelah itu, selepas saya meninggalkan pekerjaan di 1MDB, saya bertemu dan berkenalan dengannya beberapa kali lagi apabila saya melancong ke luar negara bersama Jho Low.

Mahkamah hari ini diberitahun bahawa 1MDB selaku palintif mendakwa AS$248 juta daripada dananya telah diselewengkan untuk membiayai filem Riza dan dua defendan lain, selain digunakan untuk berjudi dan membeli hartanah.

Dua defendan lain itu ialah syarikat Riza, iaitu studio filem yang berpangkalan di California, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited.

The Wolf of Wall Street adalah filem biografi komedi gelap jenayah yang mengisahkan kebangkitan dan kejatuhan Jordan Belfort, seorang peniaga saham di New York City yang terlibat dalam penipuan besar di Wall Street.

Pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio memainkan peranan utama sebagai Belfort.

Jasmine Loo akui bercuti lebih awal dengan Jho Low

Sementara itu, semasa soal balas oleh peguam Riza, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin hari ini, Loo menjelaskan bahawa anggapannya bahawa defendan dan Low berkawan baik adalah berdasarkan pengamatannya melihat kedua-dua lelaki itu dalam percutian bermain ski tersebut.

Wan Azwan: Itu menjadikan kamu juga kawan baik Jho Low.

Loo: Saya tidak menafikan itu.

Wan Azwan: Kamu pernah pergi bercuti dengan Jho Low sebelum percutian ini (di Kanada)?

Loo: Ya.

Wanita berusia 51 tahun itu mengimbas bahawa dia mungkin satu-satunya dari 1MDB yang bersama bercuti untuk bermain ski dengan Riza dan Low.

Bercakap di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, Loo berkata dia tidak pasti sama ada Low pernah menjemput anggota 1MDB lain dalam percutian yang sama.

Wan Azwan: Ini adalah satu dunia yang baru untuk kamu, Jasmine.

Loo: Ya.

Loo menyertai 1MDB sebagai penasihat undang-undang pada Mei 2011, dan bersama syarikat itu sehingga November 2013.

Dalam keterangannya, Loo berkata dia meneruskan tugas ad-hoc apabila diminta oleh pengurusan 1MDB untuk hal-hal yang masih tertangguh, dan selepas itu tidak lagi bekerja dengan dana tersebut dan meneruskan pelaburan peribadi.

Selepas diburu selama beberapa tahun berikutan tercetusnya skandal 1MDB, Loo kembali ke Malaysia tahun lepas untuk membantu siasatan pihak berkuasa mengenai perkara itu.

Menerusi saman sivil yang difailkan pada 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya mendakwa bahawa dana syarikat itu telah dialihkan melalui “pelbagai helah, perancangan licik dan penipuan yang memperdaya dan mengelirukan pelbagai pihak ketiga yang tidak bersalah”.

“Pihak plaintif mendakwa bahawa sejumlah AS$248 juta akhirnya digunakan untuk kepentingan peribadi Riza dan rakannya untuk membiayai filem terbitan Red Granite Pictures, membeli hartanah, membeli memorabilia filem, dan membayar perbelanjaan perjudian,” dakwa pihak plaintif.

Selain 1MDB, pihak plaintif lain yang dinamakan ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Dalam kenyataan pembukaan untuk perbicaraan, pihak plaintif mendakwa bahawa defendan secara sedar menerima dana dalam keadaan di mana dana tersebut telah diseleweng daripada 1MDB.

1MDB dan tiga anak syarikatnya mendakwa bahawa Riza dan dua firmanya secara tidak jujur membantu pelanggaran kewajipan fidusiari yang dilakukan oleh Low.

Plaintif mendakwa disebabkan Riza menguruskan kedua-dua firma itu, dia sepatutnya tahu bahawa dana yang berasal dari 1MDB telah diselewengkan.

1MDB dan anak-anak syarikatnya memohon antara lain, pengisytiharan bahawa Riza bertanggungjawab terhadap dana yang diselewengkan dan memulangkan semula wang tersebut kepada mereka.

‘Pinjaman daripada kerabat diraja Saudi’

Melalui kenyataan pembelaannya, Riza mendakwa wang itu diterima daripada pinjaman dari kerabat diraja Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC) dan bukan daripada 1MDB.

Defendan mendakwa bahawa sukar bagi seorang penerbit filem yang tidak dikenali untuk mendapatkan pinjaman dari bank-bank komersial, yang menyebabkan dia terpaksa mencari dana daripada individu atau syarikat.

Pada Mei 2020, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza bagi pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan AS$248 juta yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Keputusan itu adalah berkaitan kes jenayah dan bukan saman sivil yang difailkan 1MDB terhadapnya.

Najib yang merupakan bapa tiri Riza kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes rasuah sebanyak RM42 juta membabitkan dana SRC International.

SRC pernah menjadi anak syariakt 1MDB sebelum dipindahkan sepenuhnya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Najib juga pernah menjadi menteri kewangan.

1MDB dan anak-anak syarikatnya diwakili firma guaman Shearn Delamore & Co.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS