Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin MCA tidak puas hati presiden diberi jawatan 'tak sepadan'
Diterbitkan:  Oct 25, 2024 11:58 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Beberapa pemimpin MCA meluahkan rasa tidak berpuas hati mereka dengan pelantikan presiden mereka Wee Ka Siong sebagai penasihat pelaburan kepada masyarakat Cina dan juga syarikat Cina di Malaysia.

Antara mereka ialah bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker yang merasakan kedudukan itu tidak sepadan dengan status Wee sebagai ketua parti komponen BN, yang secara lazimnya diberikan jawatan menteri.

Ti Lian Ker

Bercakap kepada Malaysiakini, dia menyifatkan jawatan  itu sebagai "tidak sepadan" dan menyatakan kebimbangan ia boleh menjejaskan imej MCA.

Dengan harapan Wee akan menolak jawatan itu, Ti menegaskan bahawa MCA adalah mengenai "politik dan bukan perniagaan".

“Kita perlu melihat persediaan untuk pilihan raya umum akan datang, yang penting bagi MCA dan kerajaan campuran.

“Kita harus memberi tumpuan untuk mencipta generasi pemimpin akan datang. Ini mesti menjadi fokus utama kita, bukan meneroka peluang perniagaan,” katanya.

Menurut Ti, jawatan yang lebih sesuai ialah melantik Wee sebagai duta khas dengan bertaraf menteri.

Semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini adalah satu kelaziman untuk melantik pemimpin parti sebagai duta khas yang bertaraf menteri.

Seorang lagi pemimpin MCA, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata apabila berita pelantikan Wee diumumkan, beberapa bekas menteri parti juga tidak bersetuju.

“Ini dianggap tidak sopan. Ia seperti satu tamparan di muka, dengan lubang digali dan presiden ditolak masuk  ke dalamnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Seorang lagi veteran MCA, yang juga enggan namanya didedahkan, berhujah bahawa jawatan itu lebih rendah daripada apa yang ditawarkan kepada bekas ketua Wanita parti itu Heng Seai Kie pada 2015.

“Heng diberi pejabat dan pemandu. Sedangkan, (pelantikan Wee) ini hanyalah jawatan kosong dan ia memperkecilkan MCA,” tambahnya.

Heng Seai Kie

Ahad lalu, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Wee semasa merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA.

MCA kini mempunyai dua ahli Parlimen – Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), yang masing-masing dilantik sebagai menteri pengangkutan dan timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi ketika kerajaan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, di bawah kerajaan perpaduan Anwar, MCA tidak diberi sebarang jawatan dalam kabinet.

Terdapat spekulasi bahawa terdapat 10 ahli parlimen BN, termasuk dua wakil MCA, adalah antara mereka yang menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15, apabila tiada parti yang memperoleh majoriti mudah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS