Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPI syarikat tak tercapai tapi eksekutif GLC dapat bonus RM210,000

Minit mesyuarat daripada sebuah GLC yang bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri menjadi tumpuan apabila timbul dakwaan bahawa "bonus" dibayar kepada seorang eksekutif tertinggi walaupun syarikat itu hanya mencapai kurang separuh daripada indeks prestasi utama (KPI).

Mesyuarat lembaga pengarah Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) awal tahun ini meluluskan pembayaran tiga bulan gaji pokok bersamaan RM210,000 kepada eksekutif berkenaan.

Ia membabitkan “bayaran khas” sebanyak 2.75 bulan dan  dengan tambahan bayaran 0.25 bulan.

Menurut satu tangkapan skrin minit mesyuarat itu - yang dibocorkan di X oleh pengguna bernama moebiuz - seorang ahli lembaga mencadangkan pembayaran kepada eksekutif tersebut dihadkan pada 2.75 bulan gaji kerana KPI tidak dipenuhi.

Bagaimanapun, seorang ahli lembaga pengarah lain kemudian menyatakan bahawa bayaran khas 2.75 bulan itu juga diberikan kepada semua pekerja. Katanya ini,  bermakna ada yang akan menerima bayaran sehingga empat atau lima bulan gaji.

Sesalinan minit yang didakwa bocor itu dan dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa lembaga pengarah kemudian meluluskan pembayaran tiga bulan gaji kepada kakitangan eksekutif.

Minit yang dilihat juga menunjukkan bahawa bayaran khas 2.75 bulan kepada syarikat itu dicadangkan oleh jawatankuasa pencalonan dan imbuhan PHB walaupun KPI yang dicapai adalah sebanyak 42 peratus sahaja.

Ini dikatakan bai mengambil kira terdapat individu dan pasukan yang berjaya mencapai sasaran melebihi apa yang ditetapkan untuk mereka.

Justeru, hujah mereka, bahawa pekerja sedemikian perlu diberi ganjaran untuk mengekalkan motivasi.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu menyedari bahawa bayaran tersebut tidak boleh dianggap sebagai "bonus" kerana KPI keseluruhan yang lemah, justeru ia menggunakan istilah "bayaran khas".

Malaysiakini ditunjukkan notis yang dihantar kepada kakitangan PHB pada April lalu yang memaklumkan bahawa mereka akan mendapat bayaran khas, walaupun jumlahnya tidak dinyatakan.

Selain "bonus", pembocor maklumat itu juga mendakwa bahawa lembaga pengarah turut meluluskan pakej imbuhan yang disemak semula untuk diri mereka sendiri.

Menurut minit yang dilihat oleh Malaysiakini, semakan itu menyaksikan retainer fees untuk pengerusi lembaga pengarah yang sebanyak RM2,500 dinaikkan kepada RM18,000 sebulan, manakala yuran ahli lembaga dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM8,000 sebulan.

Elaun mesyuarat pengerusi juga dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM3,500 bagi setiap mesyuarat.

Retainer fees juga diberikan kepada jawatankuasa audit/risiko, pencalonan dan imbuhan, dan pelaburan.

Pakej baharu untuk lembaga dan jawatankuasa itu  dicadangkan oleh jawatankuasa pencalonan dan imbuhan, dan diluluskan oleh lembaga pengarah.

Malaysiakini telah menghubungi PHB pada Rabu lalu untuk mendapatkan maklum balas, tetapi belum menerima sebarang jawapan sehingga berita ini ditulis.

Nama mereka yang terlibat juga tidak disiarkan sementara menunggu maklum balas.

Pendedahan itu dibuat ketika wacana di media sosial mengenai golongan T15 dan "maha kaya" yang menjadi sasaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lalu.

PHB adalah antara entiti bawah bidang kuasa Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) yang Anwar adalah pengerusi lembaga pemegang amanah.

Tahun nini sahaja syarikat itu menjadi tumpuan sebanyak dua kali.

Pertama ialah apabila SPRM menyerbu pejabat PHB untuk menyiasat dakwaan salah guna kuasa oleh "pegawai kanan".

GLC itu juga disaman kerana didakwa gagal melindungi pemberi maklumat.

Sementara itu, MalaysiaNow melaporkan dakwaan bahawa syarikat itu awal tahun ini merancang untuk memberi pekerjanya percutian berbayar di Bali.

Bagaimanapun, rancangan itu dilaporkan dibatalkan selepas ia didedahkan.

Dakwaan salah laku dalam GLC dan GLIC telah dibangkitkan di Parlimen pada Selasa lalu, dengan Anwar menjawab bahawa audit telah diarahkan ke atas semua 2,000 syarikat yang berkaitan kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS