Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail yakin permohonan maaf bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1MDB adalah ikhlas.
Selepas meneliti kenyataan Najib, menteri besar Pahang itu berkata dia dapat "merasakan" ahli politik dari negeri kelahirannya itu membuat kenyataan tersebut dengan “suci hati serta lahir dari sanubari” yang ikhlas.
“Kenyataan beliau yang secara terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia bukanlah satu kenyataan meraih simpati, tetapi adalah satu tindakan berjiwa besar, sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang beliau percaya sebenarnya tidak dilakukan dan setelah diperdaya oleh mereka yang mengambil kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Rosdy, kenyataan Najib juga menunjukkan bekas perdana menteri itu sentiasa hanya memikirkan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan pihak tidak bertanggungjawab tertentu telah mengeksploitasinya.
“Saya juga berdoa dan berharap agar Najib dibebaskan dan keadilan yang sebenar dapat ditegakkan dengan membawa dalang kes 1MDB ke muka pengadilan,” katanya.
Semalam, Najib, dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon maaf berhubung kecelaruan dalam 1MDB yang berlaku semasa dia menjadi perdana menteri tetapi menegaskan dirinya tidak bersalah.
“Setiap hari, saya berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Najib kemudian menyebut artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Najib, yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun dan terlibat dalam prosiding undang-undang lain berkaitan 1MDB, mendakwa artikel itu menunjukkan dia ditipu.
“Rumusan daripada artikel The Edge menyatakan Petrosaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdaya saya. Saya tak sedar Petrosaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya langsung tidak mengetahui saya telah menerima wang daripada dana yang dihantar oleh 1MDB kepada Petrosaudi.
“Walaupun sukar untuk sesetengah pihak memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur percaya pada masa itu dana yang saya terima adalah sumbangan politik dari Arab Saudi,” katanya.
Bagaimanapun artikel The Edge yang disebut Najib tidak menyatakan dia tidak bersalah sepenuhnya, seperti didakwa.
Artikel itu ada menyatakan Najib tidak sedar penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB, tapi sekurang-kurangnya hanya sehingga 2010, dan berkenaan penyelewengan AS$1.5 bilion daripada bon yang diterbitkan pada 2009.
Artikel itu tidak menyimpulkan jika Najib kekal tidak tahu tentang apa yang berlaku selepas itu.