Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2025: KPKT peruntuk RM150 juta bersih, naik taraf longkang

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan RM150 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi pembersihan serta menaik taraf longkang dan parit, mulai hari ini dalam mendepani Monsun Timur Laut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata RM150 juta daripada RM200 juta peruntukan menerusi Belanjawan 2025 akan dibelanjakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan titik panas banjir kilat.

“Untuk tahun ini kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta bagi menangani risiko banjir. Atas keprihatinan kerajaan Madani, sebanyak RM150 juta akan digunakan mulai hari ini dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya ketika sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025 di Kuala Lumpuri hari ini. 

Kerja-kerja menaik taraf longkang dan parit antara 11 fokus utama KPKT menerusi Belanjawan 2025.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan penyaluran segera RM150 juta kepada PBT serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kota-kota terkesan.

Nga berkata antara fokus lain kementeriannya adalah membina 12 pasar awam baru dengan peruntukan RM180 juta pada tahun hadapan. 

“Kita akan membina pasar awam Kajang di Selangor bernilai RM15 juta, Pasar Taman Muda Ampang di Selangor (RM35 juta), Pasar Besar Kuala Pilah di Negeri Sembilan (RM11.7 juta), Pasar Awam Jalan Pasar Seri Kembangan di Selangor (RM12 juta) dan Pasar Besar Melaka Central (RM15 juta).

“Selain itu, membina pasar kekal di Sungai Long, Selangor (RM15 juta); naik taraf Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu (RM15 juta); Pasar Besar Ipoh, Perak (RM15 juta) dan pembangunan Pasar Besar Kuala Krai, Kelantan sebanyak RM15 juta. Projek-projek sambungan pula kita akan peruntuk RM343 juta untuk naik taraf projek sambungan pasar baru,” katanya. 

Nga berkata pembinaan pasar awam bernilai RM10 juta ke atas wajib melalui tender terbuka, selain KPKT akan bekerjasama dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) untuk membuat pertandingan seni bina secara terbuka bagi pembinaan pasar baharu terbabit. 

“Pihak kementerian berharap inisiatif ini boleh meningkatkan penarafan pasar awam bukan sahaja sebagai tempat beli-belah, tetapi juga sebagai destinasi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mempamerkan keunikan budaya kita kepada dunia,” katanya lagi.

Selain itu, dia berkata pihaknya juga akan menaik taraf 100 lagi Taman Awam Madani dan landskap di bandar serta pekan kecil dengan peruntukan RM100 juta. 

“Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat mempunyai ruang untuk beriadah bersama keluarga dan mengamalkan gaya hidup sihat seperti berjoging. Dalam konteks landskap global yang berkembang pesat, penting bagi kita untuk terus meningkatkan keupayaan kita dalam mencegah, mengurus dan bertindak balas terhadap pelbagai situasi kecemasan yang kompleks,” katanya. 

Dia berkata KPKT juga akan membina enam balai bomba baru dengan peruntukan RM6.8 juta terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Desa Petaling di Kuala Lumpur, BBP Bandar Enstek di Negeri Sembilan, BBP Dalat di Sarawak, BBP Sepanggar di Sabah serta balai bomba dan kuarters di Engkilili, Sarawak dan Kota Kemuning, Selangor. 

“Selain itu, isu kritikal bagi penggantian kenderaan lama juga telah diberi perhatian serius dengan begitu baik apabila diluluskan perolehan 231 kenderaan baru dengan peruntukan RM40 juta merangkumi 200 unit kenderaan ringan operasi bagi kegunaan kecemasan dan kerja lasak, 26 Light Fire Forensic Vehicle (LFFV),  penggantian lima unit jentera khas K9,” katanya. 

Nga berkata rumah ibadat bukan Islam akan menerima RM50 juta bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan di premis seperti kuil, tokong, dan gereja dan lain-lain. 

“Di bawah kerajaan Madani, kita sentiasa memastikan kepentingan semua anak Malaysia dan menjaga semua lapisan masyarakat,” katanya. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS