Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki rogol anak tiri dihukum penjara, sebat
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Seorang pemandu van hari ini dihukum penjara 10 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah merogol anak perempuan tirinya sehingga mengandung dan melahirkan seorang bayi, tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 59 tahun itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia dituduh di mahkamah, iaitu 11 Okt.

Tertuduh juga diperintah untuk menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan, diikuti dengan pengawasan polis selama dua tahun apabila dia selesai menjalani hukuman.

Lelaki terbabit didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu di sebuah unit pangsapuri di Setapak Jaya, Wangsa Maju pada jam 4 petang, 10 Sept tahun lalu.

Untuk itu dia didakwa mengikut Seksven 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah 376(2)(d) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dengan sebatan.

Mengikut fakta kes, satu laporan polis dibuat pegawai perubatan sebuah hospital selepas mangsa mendapatkan rawatan kerana haidnya tidak teratur.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa hamil dan pada ketika itu usia kandungannya ialah 19 minggu.

Kanak-kanak terbabit memberitahu dia dirogol oleh bapa tirinya semasa di rumah mereka. Mangsa memaklumkan perkara itu, kerana mahu mendapatkan perlindungan serta takut hal tersebut diketahui oleh ahli keluarga lain.

Dia kemudian melahirkan seorang bayi dan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira perbuatan tertuduh telah mendatangkan trauma kepada mangsa.

“Perbuatan tertuduh telah menyebabkan mangsa melahirkan seorang bayi sehingga kanak-kanak itu tidak ke sekolah kerana malu, serta perlu melalui proses pemulihan yang lama selepas bersalin,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga serta mempunyai penyakit buah pinggang dan sakit lutut.

“Saya mempunyai seorang isteri yang merupakan orang kurang upaya (OKU) serta seorang anak autistik.

"Hanya saya seorang sahaja yang menanggung keluarga...saya minta maaf,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS