Dalam permohonan maafnya hari ini, bekas perdana menteri Najib Razak turut mengakui dia sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza bagi menangani skandal 1MDB.
Namun, menurut kenyataan yang dibacakan anaknya Nizar Najib, dia lebih mempercayai penjelasan lembaga pengarah dan pengurusan 1MDB ketika itu.
“Apabila berlakunya kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di 1MDB, saya sepatutnya mengambil tindakan berbeza.
“Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB,” katanya.
Hari ini, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka atas skandal 1MDB.
Namun, dia kekal menyatakan dia tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Sementara itu, Najib berkata apabila dia mula merasa curiga dengan “apa yang sebenarnya berlaku” dalam 1MDB, kebimbangan utamanya adalah untuk memulihkan kedudukan kewangan dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala peringkat tertinggi dengan Arab Saudi.
“Saya telah pun dihukum dari segi politik, walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada segala penyelewengan dalam 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersubahat dengan Jho Low.
“Justeru, saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang,” katanya lagi, sambil menyuarakan proses mahkamah akan dapat membuktikan dia tidak bersalah.
Baca: Najib mohon maaf atas skandal 1MDB
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Namun Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukumannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Selain kes SRC International, Najib juga masih berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan kes 1MDB.
Kes-kes tersebut adalah kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, kes pecah amanah jenayah berkaitan International Petroleum Investment Company berjumlah RM6.6 bilion, kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.