Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Pembangkang hari ini mempersoalkan apakah "jenayah terancang" yang dilakukan oleh 22 ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sehingga mereka didakwa di mahkamah semalam.

Semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta pihak berkuasa menjelaskan pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atas mereka, termasuk melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Nasiruddin Mohd Ali.

"Semalam 22 individu termasuk CEO GISHB didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan, dikatakan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

"Saya nak bertanyakan apakah kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh mereka? Apa kumpulan jenayah terancang ini, dan apa jenayah terancang yang mereka lakukan?" soalnya.

Semalam Malaysiakini melaporkan seramai 22 ahli pertubuhan - yang sudah diharamkan di beberapa negeri - berdepan pertuduhan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.

Mereka terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan wanita, termasuk anak lelaki kepada pengasas kumpulan Darul Arqam, Asaari Mohamad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - yang lebih dikenali sebagai Sosma - dan ia berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Setuju tak perlu guna Sosma

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, antara Okt 2020 hingga 11 Sept 2024.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS itu kemudian mahu tahu apakah pendirian kerajaan terhadap Sosma yang sebelum ini ditentang dan dianggap sebagai undang-undang yang zalim oleh sebahagian daripada mereka.

"Saya ucap tahniah kepada Jelutong (RSN Rayer) kerana tak setuju dengan Sosma tetapi apa tindakan Jelutong untuk menentang Sosma yang dianggap undang-undang zalim?

"Bagi kami dari PN, secara rasionalnya kami menerima Sosma tapi kami tak terima penyalahgunaan Sosma termasuklah terhadap GISHB," tegas Takiyuddin.

RSN Rayer

Selepas namanya dipetik, Rayer kemudian bangun untuk mencelah dengan menyatakan dia setuju terhadap pandangan dikemukakan Takiyuddin.

Walaupun berada di blok kerajaan, kata ahli parlimen DAP itu lagi, dia memang tidak bersetuju terhadap langkah menggunakan Sosma ke atas mana-mana pihak.

"Kalau boleh pada masa sekarang saya menawarkan perkhidmatan saya untuk membela mereka (GISHB).

"Kalau diperlukan saya sedia memberikan khidmat percuma untuk membela mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS