Najib Razak hari ini memberi keterangan bahawa dia sedar akan sumbangan daripada Arab Saudi kerana hubungan rapatnya dengan raka ketika itu, Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.
Bekas perdana menteri itu berkata dia mempercayai berbilion ringgit dalam akaun banknya adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib berkata kepercayaannya itu berdasarkan empat surat yang didakwanya daripada kerabat Arab Saudi yang disampaikan di pejabatnya di Putrajaya.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam utamanya Muhammad Shafee Abdullah, Najib memberi keterangan bahawa surat-surat berkenaan menjanjikan derma tersebut kerana sumbangannya kepada dunia Islam.
Shafee: Adakah kamu sedar tentang sumbangan itu?
Najib: Ya, kerana hubungan rapat saya dengan Raja Abdullah.
Shafee: Apabila kamu kata hubungan rapat dengan Raja Abdullah, apakah yang baginda menyatakan (sumbangan) ini dalam perjalanan kepada kamu?
Najib: Apabila saya bertemu dengan Baginda di Riyadh, Baginda berkata akan memberikan sokongan kepada saya dan memberikan anugerah tertinggi yang hanya diberikan sebelum ini kepada (presiden Amerika Syarikat ketika itu) Barack Obama dan (Presiden Rusia Vladimir) Putin.
Najib berkata susulan mengetahui sejumlah besar wang akan diterimanya, dia memaklumkan kepada pengarah urusan AmBank ketika itu Cheah Tek Kuang untuk mengambil surat-surat berkenaan dan memaklumkan kepada gabenor Bank Negara ketika itu Zeti Akhtar Aziz mengenai dana yang akan masuk.
“Saya mahu akaun saya (di Ambank) dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
“Sebagai pelanggan bank, saya tidak akan mempunyai akses kepada maklumat mengenai sumber dana itu, dan saya terpaksa bergantung kepada Bank Negara Malaysia dan Ambank,” kata defendan.
Najib berkata demikian ketika memberi keterangan dalam tuntutan sivil bernilai AS$1.18 billion yang difailkan SRC International terhadapnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
Apabila Shafee menyoal jika dia mempunyai firasat bahawa jumlah besar wang yang masuk ke dalam akaun itu mungkin berasal dari sesuatu yang haram, Najib menjawab dia tidak pernah mengesyaki apa-apa.
Pada Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baharu memfailkan saman apabila mendakwa Najib menyalahguna amanah dan kuasanya.
Syarikat itu juga mendakwa Najib menyalahgunakan dana syarikat dan mendapat manfaat daripada itu.
Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan mahu bekas perdana menteri itu Najib membayar semula RM42 juta kerana kerugian dialaminya.
Perbicaraan bersambung pada Selasa ini.