Isu sama ada hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus berjaya menjadi sebab untuk parti politik - termasuk yang sama-sama dalam kerajaan - meningkatkan perbalahan antara satu sama lain.
Kali ini Pemuda PKR (AMK) yang menyanggah sekali gus menyindir Pemuda Umno.
Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar, berkata pada dasarnya kerajaan memang mampu melupuskan hutang tersebut namun dengan syarat ia tidak dibebani dengan hutang skandal 1MDB.
Malah, kata Haziq, PH telah membangkitkan isu skandal tersebut seawal 2011 lagi dan sehingga 2013, hutang PTPTN masih boleh dilupuskan kerana jumlah keseluruhan bebanannya baru berjumlah RM20 bilion.
"Namun ia sudah tidak boleh dilakukan lagi (kemudian) khususnya selepas 2018 apabila jumlah hutang PTPTN mencecah lebih RM40 bilion, dan terkini RM66.87 bilion.
"Hal ini diterangkan sendiri oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, semasa kempen PRU ke-15 bahawa kerajaan persekutuan berupaya menghapuskan hutang PTPTN khususnya sebelum tahun 2013 melalui kaedah ‘refinance’ tetapi tidak selepas beberapa kemudian," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam Pemuda Umno menempelak PH berhubung janji untuk menghapuskan hutang daripada perbadanan yang ditubuhkan kerajaan bagi membantu membiayai pembelajaran rakyat negara ini.
Kata Akmal, sejak awal lagi BN memang menegaskan bahawa hutang tersebut tidak dapat dilupuskan namun ia gagal meyakinkan sesetengah pihak.
‘Jangan main sebut saja’
Malah exco Melaka itu berkata, kemarahan orang ramai berhubung isu itu membawa kepada kejian dan makian terhadap Najib Razak yang menjadi perdana menteri sebelum PRU 2018.
Untuk rekod PKR - bersama gabungan Pakatan Rakyat - pernah menjanjikan dasar menghapuskan hutang PTPTN dalam usaha mereka meraih sokongan pengundi menjelang PRU.
Bagaimanapun selepas penubuhan PH - ekoran terbubarnya Pakatan Rakyat - gabungan itu tidak lagi menyatakan ikrar tersebut dalam manifesto menghadapi PRU ke-14 dan ke-15.
Pada masa sama, bekas parti gabungan Pakatan Rakyat - PAS - mengulangi janji tersebut semasa menyertai PRU ke-14 pada 2018 melalui manifesto Malaysia Sejahtera mereka.
Menurut Haziq, skandal 1MDB yang berlaku pada zaman Najib memberi kesan yang sangat besar kepada ekonomi dan kantung negara.
Ketika ini, katanya, walaupun sesetengah aset yang terkait dengan skandal itu sudah dikembalikan, negara masih terpaksa melangsaikan hutang berkenaan sebanyak RM39.74 bilion.
“Dan alangkah baik sekiranya perbelanjaan puluhan bilion ringgit yang terpaksa digunakan untuk membayar hutang 1MDB itu digunakan untuk meringankan beban pendidikan anak-anak muda dengan memperluas skop pengecualian pembayaran sekalipun kini sudah terlambat untuk menghapuskan PTPTN.
“Bagaimanapun, apa boleh buat... layan sajalah,” katanya.
Sementara itu melalui catatan di media sosialnya hari ini, Akmal menganggap Haziq tidak memahami apa maksud sebenar yang diperkatakannya semalam.
“Apabila nak buat kenyataan, kena faham dulu apa yang nak dibicarakan. Bukan main sebut sahaja dahulu tetapi langsung tidak faham apa yang diperkatakan.
“Nanti jadilah macam ini, janji dahulu lepas itu bila tidak boleh buat mulalah cari salah orang lain untuk dipersalahkan. Kesian,” katanya Akmal.