Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada keperluan semak Akta 605, beri pengecualian kepada universiti - Zambry
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 2:00 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

PARLIMEN l Terdapat keperluan untuk melihat semula Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2020 (Akta 605) bagi memberi pengecualian kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam beberapa perkara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu bagi memastikan universiti awam di negara ini tidak terikat dalam keseluruhan pekeliling yang dikeluarkan kepada badan-badan berkanun.

Zambry Abdul Kadir

“Selepas perkara ini timbul saya adakan mesyuarat di peringkat tertinggi dan lihat kenapa kekangan ini berlaku dalam konteks dunia akademik kita, maka halangan terbesar ialah kerana kita ada Akta 605.

“Beberapa cubaan telah dibuat dan sehingga kini pun saya minta Akta 605 dilihat semula bagi memberi pengecualian dalam konteks universiti awam kerana ia dianggap sebagai badan berkanun dan dalam Akta 605 ada 12 institusi yang dikecualikan.

“Maka sudah sampai masanya kita perlu melihat konteks sebuah universiti sebagai contoh Perkara 18(1) dan (2) yang menyentuh perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu langkah kementerian bagi memastikan insiden seperti larangan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap petugasnya daripada membuat kenyataan awam, tidak berulang.

Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota)

Zambry berkata langkah yang diambil beliau itu mungkin bersikap ‘radikal’ namun ia perlu dilakukan supaya warga universiti tidak terkongkong dengan ketakutan dalam menyampaikan pandangan mereka.

Menjawab soalan tambahan Saifuddin mengenai langkah progresif dalam memastikan universiti tidak dilihat seperti sebuah jabatan kerajaan yang lain, Zambry berkata KPT akan menilai ekosistem pendidikan tinggi secara keseluruhan sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang.

“Saya faham kerana ia tak boleh terlalu rigid kerana dunia akademik itu agak berbeza penilaiannya sebagai terkait perkara kehadiran pensyarah, kerana pensyarah tak boleh dilihat dalam konteks sebagai perkhidmatan awam dan memaksa mereka datang clock-in pukul 8 pagi dan balik pukul 5 petang.

“Itu bukan dunia akademik yang sebenarnya kerana dunia akademik terbahagi kepada pengajarannya, kajian dan tertakluk kepada iklim ekosistem pendidikan itu, jadi perkara ini kita sedang lakukan supaya kembalikan semula roh universiti yang sebenar dengan memberi ruang berbicara serta memikir, dan dalam masa yang sama pensyarah bertanggungjawab atas disiplin ilmunya,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS