Bidaan nombor plat khas MADANI berjaya mengutip hasil sebanyak RM2.6 juta.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata angka itu diperoleh berdasarkan laporan awal diterimanya.
"Hasil setakat ini RM2.6 juta, nanti saya akan keluarkan kenyataan," katanya ringkas pada sesi taklimat media mengenai operasi Rapid KL Kuala Lumpur, seperi dilaporkan BH.
Terdahulu, bidaan itu mencetuskan perhatian setelah angka 8481 yang mirip perkataan “BABI” mencatat nilai tertinggi.
Setakat semakan Malaysiakini semalam "MADANI 8481" dibida dengan harga RM9,999.
Hari ini terdapat media melaporkan ia mencanak naik kepada nilai RM26,666.
Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan maklumat ini. Pengumuman rasmi dijangka dibuat hari ini setelah bidaan berakhir malam tadi.
Harga bidaan minimum bagi siri nombor plat MADANI ditetapkan mengikut kategori iaitu RM20,000 untuk nombor utama, RM5,000 (nombor premium), RM2,500 (nombor menarik), RM500 (nombor popular) dan RM100 (nombor semasa).
Siri nombor pendaftaran itu dilancarkan bagi mempromosikan kerajaan Anwar Ibrahim.
Anwar juga dihadiahkan MADANI 10 simbolik kepada jawatannya sebagai perdana menteri kesepuluh.
Selain itu "Madani 47" atau "Madani 4747" juga menarik perhatian, khususnya bagi pengkritik, bagi memberikan gambaran tidak elok kepada kerajaan.
Angka 47 dikaitkan dengan jumlah pertuduhan mahkamah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.