Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel beri amaran, Rusia ikrar tidak akan tinggalkan Iran
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 1:16 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant memberi amaran mengenai serangan yang dirancang terhadap Iran.

Katanya, apabila serangan itu dilancarkan, dunia akan memahami kehebatan ketenteraan Israel.

Yoav Gallant

Lebih tiga minggu telah berlalu sejak Iran melancarkan peluru berpandu bertubi-tubi ke atas Israel, yang disifatkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai "kesilapan besar" dan berikrar untuk “menghukum” Iran.

Menurut Guardian, Gallant ketika melawat anak kapal di pangkalan udara Hatzerim pada Rabu lalu, menjelaskan bahawa Israel masih berniat untuk melancarkan serangan balas.

"Selepas kita serang di Iran, mereka akan fahami di Israel dan di tempat lain tentang apa yang termasuk persediaan anda," katanya kepada kru dalam video yang diedarkan oleh pejabatnya.

Di X, Gallant berkongsi lebih lanjut tentang pertemuannya dengan anggota tentera udara.

"Dalam perbualan saya dengan mereka, saya menekankan - selepas kami menyerang Iran, semua orang akan memahami kekuatan anda, proses penyediaan dan latihan - mana-mana musuh yang cuba membahayakan negara Israel akan membayar harga yang mahal," katanya.

Guardian juga menlaporkan senarai sasaran Israel telah menjadi "subjek perbualan yang berlarutan antara pemimpin Israel dan pentadbiran Biden."

Pentadbiran Biden, tambahnya, telah menggesa Israel supaya tidak menyerang infrastruktur industri minyak Iran atau program nuklearnya.

"Washington bimbang kitaran peningkatan, terutamanya dalam dua minggu terakhir sebelum pilihan raya presiden AS," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak akan meninggalkan Iran pada masa ia memerlukan.

“Kami sedang membangunkan kerjasama dengan Iran dalam pelbagai bidang. Kami berhasrat untuk melanjutkan lagi kerjasama ini,” kata setiausaha akhbar Kremlin Dmitry Peskov kepada CNBC.

"Ia sama sekali tidak ditujukan kepada negara ketiga," tambahnya.

Preskov ditanya bagaimana Rusia melihat status hubungannya dengan Iran semasa ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

Dia juga disoal tentang bagaimana Kremlin akan mengimbangi kepentingan dan pakatan yang bertentangan di rantau ini.

Spekulasi penganalisis adalah bahawa Iran mungkin meminta Kremlin membalas budi kerana membantu Rusia dalam perangnya menentang Ukraine.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS