Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS kini pilihan profesional, bukan sekadar parti pak lebai'
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

PAS kini menjadi parti pilihan di kalangan teknokrat dan profesional dan bukan lagi sekadar parti 'pak lebai', kata Mursyidul Am Hashim Jasin.

Hashim berkata ini terbukti apabila PAS berjaya meletakkan calon dalam kalangan profesional pada pilihan raya sebelum ini dan bukannya bergantung kepada tokoh agama semata-mata.

“Kita lihat PAS terus berkembang dan sekarang kalau kita lihat di Kedah contohnya ada calon atau wakil rakyat dalam kalangan peguam, ahli akademik, doktor dan sebagainya. Semua jadikan PAS sebagai platform politik mereka.

“Jika dahulu kita tidak akan jumpa doktor contohnya mahu menyertai PAS, sekarang cukup banyak.

“PAS sekarang juga sudah menjadi parti tunjang orang Melayu Islam yang dahulunya mereka bergantung kepada Umno,” katanya seperi dipetik Utusan Malaysia.

PAS ketika ini mentadbir kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Pada Februari tahun ini, Free Malaysia Today melaporkan sumber sebagai berkata bahawa hubungan antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi dingin berikutan keputusan PAS mempertahankan jawatan partinya.

Sumber itu menyatakan bahawa keputusan Muhyiddin untuk mempertahankan jawatan presiden partinya, walaupun sebelum ini berkata sebaliknya, menghalang rancangan PAS untuk mengetengahkan naib presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri untuk pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Samsuri kini berkhidmat sebagai Menteri besar Terengganu dan sebelum ini bekerja sebagai jurutera aeroangkasa.

Sehubungan itu, Hashim melahirkan keyakinan bahawa momentum 'gelombang hijau' akan berterusan sehingga pilihan raya umum ke-16.

"Dan kita melihat potensi PAS untuk memenangi Perak, Selangor dan Pahang dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Hashim mengingatkan pemimpin di negeri yang ditadbir PAS supaya tidak leka dan melakukan yang terbaik untuk rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS