Paling Popular
Terkini
1

PARLIMEN l Pembangkang mendakwa wujudnya situasi padi yang dihantar ke kilang untuk diproses sebagai beras putih tempatan, namun akhirnya keluar sebagai beras import.

Perkara itu dibangkitkan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang memaklumkan ini diperkatakan apabila masyarakat mendapati ketiadaan bekalan beras putih tempatan di pasar raya atau kedai-kedai runcit.

"Ada yang dakwaan mengatakan padi dihantar ke kilang pengeluaran padi pada waktu pagi, petangnya pesawah nak beli beras, jadi beras import.

"Mengapa ini berlaku? Adakah kerajaan memantau kilang-kilang pengeluaran padi seluruh negara bagi mengesan ke mana hilangnya padi-padi tempatan yang pagi dihantar, petangnya jadi beras import.

"Kalau ini berlaku apa tindakan kerajaan yang mesti buat ke atas kilang-kilang padi, kalau tidak berlaku ke mana pergi hilang beras-beras tempatan?” soalnya dalam soalan tambahan pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup kemudiannya memberitahu bahawa kerajaan akan mewujudkan peraturan baru dalam mengekang kejadian seperti dakwaan berkenaan.

Arthur Joseph Kurup (BN-Pensiangan)

"Itulah sebab kita akan wujudkan peraturan baru. Pertama kita kena siasat dulu, minta bahagian kawalselia padi dan beras untuk pergi ke kilang-kilang melawat adakah betul bahawa tuduhan itu ada campuran antara beras putih tempatan dan beras import berlaku.

"Sekiranya berlaku kita perlu mewujudkan peraturan baru untuk memastikan bahawa beras putih tempatan itu mesti ada bekalannya bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS