Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir menggesa ahli akademik supaya menyandarkan pandangan terhadap fakta dan kajian kukuh, bukan membuat kenyataan popular semata-mata.
“Kita juga ada kalangan yang disebut intelektual populis yang dia nak berbicara, oleh kerana dia tengok populis, boleh jadi popular dengan satu-satu tajuk, termasuklah dengan dengan menggunakan teori bahawa Siti Khadijah daripada Kedah untuk contoh.
“Dan ini menimbulkan kekeliruan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Zambry menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH - Pulai), yang memintanya menjelaskan garis pemisah antara kebebasan intelektual dan ruang manipulasi dalam dunia akademik.
Zambry tidak menyebut nama mana-mana pihak secara khusus. Dia bagaimanapun mungkin merujuk kepada kenyataan kontroversi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Solehah Yaacob.
Kenyataan “Siti Khadijah berasal dari Kedah” dipetik oleh profesor bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Solehah Yaacob.
Solehah dikaitkan dengan kontroversi dakwaan Khadijah dari alam Melayu.
Bagaimanapun, dia mendakwa video ceramahnya berkaitan perkara itu dipotong sehingga disalah erti.
UIAM kemudiannya mengambil tindakan mengikut kod etika kakitangannya.
‘Bebas bercakap tapi janganlah merapu’
Sementara itu, Zambry merujuk buku sarjana Islam Edward Said bertajuk The Representation of the Intellectual, yang menurut ahli akademik Palestin-Amerika itu, sesiapa sahaja boleh bercakap tentang mana-mana subjek berdasarkan tradisi dan fakta.
“Sebagai disiplin seorang intelektual, dia boleh bercakap apa-apa, tetapi mesti tertakluk kepada disiplinnya dan berasaskan kepada asas-asas yang baik, data-data yang baik, kerana (dia) seorang intelektual.
“Jangan sampai akhirnya orang anggap bahawa intelektual itu sama saja dengan mereka yang berada di bawah sana,” katanya.
Selain itu, Zambry turut menjawab soalan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berhubung langkah KPT bagi memastikan insiden Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa melarang kakitangannya membuat kenyataan awam tidak berulang.
“Saya telah buat teguran kepada universiti-universiti, kalau sekiranya ada kekeliruan atau kekaburan dalam tafsiran yang dikeluarkan itu, maka hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi untuk kita perjelaskan,” katanya.
Tambah Zambry, satu mesyuarat peringkat tinggi telah diadakan bagi mengenal pasti kekangan itu dan pihaknya akan melihat semula untuk mengecualikan universiti awam daripada Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 bagi memastikan kebebasan bersuara.
“Langkah ini dianggap antara langkah kehadapan dan radikal.
“Dan saya sedang mencuba untuk melakukan perkara ini bagi membolehkan supaya iklim dalam sesebuah universiti itu tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka.
“Tapi dengan syarat dalam tradisi intelektual, kesarjanaan seseorang yang bercakap itu tak cakap secara merapu tanpa fakta dengan buat teori bukan-bukan,” katanya.
Pada 17 Okt lepas, bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik mendedahkan memo UKM yang melarang ahli akademik membuat kenyataan umum bertarikh 8 Okt, yang kemudiannya mendapat kritikan keras.
Memo itu antara lain mengingatkan ahli akademik supaya tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan dibenarkan atau diberi mandat berbuat demikian.
Bagaimanapun, UKM pada 18 Okt menafikan menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.