Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keadilan buat Kopi: NGO hak haiwan mahu serah memo di parlimen
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 12:07 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Dalam usaha untuk mendapatkan keadilan bagi seekor anjing liar bernama Kopi yang ditembak mati oleh Majlis Daerah Besut (MDB), kumpulan hak asasi haiwan merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Parlimen bulan depan.

“Sebagai badan perundangan tertinggi di Malaysia, Parlimen memegang peranan penting dalam menangani isu-isu kemasyarakatan yang mendesak.

“Oleh itu, 12 NGO hak haiwan telah memutuskan untuk menyampaikan memorandum kepada ahli parlimen pada minggu kedua November untuk mendapatkan keadilan untuk Kopi,” kata presiden Selangor Furry Future Association S Shashi Kumar kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 13 Okt lepas, New Straits Times melaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu menerima pelbagai pertanyaan awam mengenai video tular yang mendakwa wakil majlis tempatan menembak Kopi.

Jabatan itu berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Sebelum ini, akaun media sosial My Forever Doggo, dalam satu posting di Instagram, mendakwa penduduk ternampak seorang wakil PBT di Terengganu didakwa menembak anjing itu yang mesra dipanggil Kopi, semasa operasi pada 6 Okt lepas.

Geram dengan perkara itu, kira-kira 100 orang berkumpul di luar ibu pejabat polis Sentul pada 15 Okt selepas laporan difailkan mengenai perkara itu.

Tiga hari kemudian, hampir 300 orang berkumpul di luar ibu pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya untuk menyampaikan memorandum, menggesa agensi itu menyiasat perkara berkenaan.

“MDB telah mengakuinya dan mempertahankan tindakan itu. Mereka yang terlibat mesti didakwa. Itu adalah minimum yang perlu dilakukan,” Shashi dilaporkan berkata ketika itu.

Peguam hak asasi haiwan Rajesh Nagarajan, yang hadir pada perhimpunan itu menggesa pihak berkuasa mendakwa pegawai terbabit di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Ditanya mengapa mereka memilih untuk menyampaikan ke Parlimen, Shashi berkata pasukannya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan pegawai yang menerima memorandum itu pada 18 Okt di Putrajaya.

“Pegawai itu terus berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan menyiasat perkara itu. Apabila kami menekan garis masa, dia memberi kami jawapan yang tidak komited dengan mengatakan dia tidak boleh berbuat demikian,” keluhnya.

S Shashi Kumar

Shashi mendakwa bahawa layanan kejam terhadap anjing liar oleh majlis tempatan telah menjadi isu lama yang tidak ditangani.

“Dan kekurangan tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar menimbulkan kebimbangan mengenai keberkesanan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) semasa,” katanya.

Menyentuh memorandum itu, Shashi berkata pasukannya akan menggariskan tuntutan dan cadangan utama - yang paling penting menggesa agar pembunuhan dan layanan kerjam terhadap anjing di Malaysia dihentikan segera.

"Kami juga menyokong semakan menyeluruh terhadap Akta Kebajikan Haiwan, kerana ia telah ketinggalan zaman dan memerlukan penambahbaikan yang ketara untuk melindungi haiwan yang terdedah dengan lebih baik," tambahnya.

Selain ahli parlimen, Shashi berkata kumpulan hak asasi haiwan juga akan menyerahkan salinan dokumen itu kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang menaungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Kami juga akan menghantar salinan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Undang-undang dan Pembaharuan Institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Kami memulakan pendekatan pelbagai kementerian ini untuk memastikan kebimbangan kami mencapai semua peringkat tadbir urus dan menerima perhatian yang sewajarnya," kata Shashi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS