Pengaruh media sosial berhasil membantu seorang guru sekolah di Sarawak, yang rayuannya untuk dipindahkan bagi menjaga isterinya yang sakit telah berulang kali dinafikan oleh pihak atasannya di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selepas kisahnya tular di media sosial, nasib guru yang hanya dikenali sebagai Cikgu Din itu akhirnya sampai ke pengetahuan pengurusan tertinggi kementerian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan berkata mereka telah mengambil langkah perlu untuk membantu Cikgu Din termasuk memberinya jumlah cuti yang tidak didedahkan supaya dia dapat bersama isterinya yang menghidap kanser di Semenanjung.
“KPM prihatin mengenai situasi seorang guru yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya seperti yang sedang tular di media sosial.
"Tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil. Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya.
"Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.
"KPM mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara," kata kenyataan itu.
Sementara itu, menurut catatan Facebook bekas guru yang juga pempengaruh media sosial Mohd Fadli Salleh, Jabatan Pendidikan Sarawak telah meluluskan cuti 30 hari untuk Cikgu Din sejak Isnin.
Berdasarkan tangkapan skrin perbualan Fadli dan akaun Facebook rasmi jabatan itu, jabatan itu turut menyatakan kesediaan untuk meluluskan lebih banyak cuti bagi Cikgu Din dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, pentadbir akaun itu mendakwa cerita yang tular itu tidak menggambarkan keadaan sebenar, mengatakan pada mulanya dicadangkan Cikgu Din dipindahkan ke daerah lain yang berdekatan dengan hospital dan dengan itu tidak perlu kembali ke Semenanjung.
"Mungkin perbincangan Cikgu Din dan isteri membuatkan CIkgu DIn memohon untuk pindah ke Kelantan.
"Tetapi jabatan ini tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan pertukaran itu kerana beliau masih belum berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan, hanya Kementerian Pendidikan yang boleh," katanya.
Ulang alik Kelantan-Sarawak
Nasib Cikgu Din dan isteri mula mendapat perhatian di platform media sosial selepas rakan pasangan itu menyiarkan kisah mereka di Facebook semalam.
Menurut rakan itu, yang memuat naik di akaun Facebook Harima Abd Rahman, Cikgu Din dan isterinya kedua-duanya berasal dari Semenanjung dan berpindah ke Sarawak beberapa tahun lalu "semasa Covid" selepas guru itu dipindahkan ke sebuah sekolah di Kanowit.
Tidak lama selepas mereka berpindah ke negeri itu, isteri Cikgu Din jatuh sakit sebelum disahkan menghidap sejenis kanser tulang.
Guru itu, menurut Harima, kemudian memutuskan untuk membawa isteri dan anak tunggal mereka pulang ke kampung halamannya di Kelantan untuk mendapatkan rawatan, dan sejak itu dia melakukan perjalanan antara Sarawak dan Kelantan setiap dua minggu.
Cikgu Din terpaksa menghabiskan semua cuti tahunannya dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji supaya dapat melawat isterinya, katanya.
“Dia pernah memohon pertukaran ke Semenanjung supaya lebih mudah untuk bersama isteri, tetapi tidak diluluskan.
"Dia telah pergi ke Putrajaya malah memandu ke Kuching untuk berjumpa dengan pengarah pendidikan. Tetapi dia masih menerima jawapan yang sama: dia tidak dibenarkan berpindah ke Semenanjung untuk bersama isterinya.
“Menurut pegawai yang bertanggungjawab pemindahan, eGTUKAR (aplikasi kerajaan untuk guru memohon pertukaran) hanya dibuka kepada guru yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun,” tulis Harima.
Menurut rakan itu, Cikgu Din turut menerima maklum balas kasar daripada pihak atasan apabila menyerahkan surat rayuan untuk pertukaran.
Pihak atasan yang tidak didedahkan identitinya dikatakan memberitahu Cikgu Din bahawa "yang sakit itu isteri kamu, sedangkan kamu tidak, (jadi) kamu masih boleh berkhidmat."
Selepas permohonan dan rayuannya berulang kali ditolak, guru itu kemudiannya meneruskan perjalanan antara Sarawak dan Kelantan dan ini dikatakan telah menjejaskan kesihatannya sendiri.
Harima mendakwa Cikgu Din disahkan menghidap gangguan kemurungan mental, tetapi walaupun keadaannya itu, permohonan perpindahan guru itu tetap ditolak.
Lebih malang, keadaan kesihatan isteri Cikgu Din juga semakin teruk jadi doktor memutuskan untuk menghentikan sebarang rawatan aktif dan menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai banyak masa lagi.
Catatan Facebook itu telah dikongsi lebih 34,000 kali di Facebook dan menarik komen yang berbaur rasa simpati dan kecaman pegawai Kementerian Pendidikan yang terlibat dalam menafikan Cikgu Din daripada mendapat pertukarannya.