Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepecs mohon KKM teliti pembekalan kain pakaian seragam petugas kesihatan

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon Kementerian Kesihatan (KKM) agar segera meneliti isu pembekalan kain untuk pakaian seragam petugas kesihatan yang dikatakan berkualiti rendah.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata pihaknya sudah lama membangkitkan perkara itu dan beranggapan ia seharusnya tidak lagi timbul dan telah diselesaikan oleh KKM.

“Kami kecewa kerana perkara ini masih berlaku di saat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) amat mementingkan kebajikan penjawat awam.

“Kami mendapat aduan kalau kain uniform itu putih, yang diterima tidaklah betul-betul putih. Kalau putih pula, kadang-kadang kainnya jarang dan telus. Lebih memeritkan kain keras dan tebal… tidak sesuai buat uniform untuk jalankan tugas. Ia perlu diteliti semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program peningkatan profesionalisme pembantu tadbir pendidikan negeri Terengganu 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, semalam.

Adnan turut meminta kerajaan menyegerakan tuntutan untuk menaikkan skim perkhidmatan kira-kira 300,000 pembantu tadbir yang didakwa tercicir daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau berkata Ceupacs telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mengenai perkara itu dan berharap mendapat maklum balas terbaik daripada kerajaan sebagaimana yang dibincangkan bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini.

"Dalam memorandum itu, kami mohon kerajaan meningkatkan skim pembantu tadbir kepada Gred 29 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) atau Gred 5 di bawah SSPA.

"Pembantu tadbir sebenarnya sudah lama tertinggal. Skim yang setara dengannya telah jauh berubah. Jadi kami rasa mereka perlu dilihat semula dalam bentuk fungsi tugas yang telah ditingkatkan," katanya.

Adnan berkata gred skim pembantu tadbir juga wajar dinaikkan kerana ada antara mereka yang memiliki kelulusan lebih tinggi seperti diploma dan ijazah berbanding kelayakan kemasukan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS