Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hujan batu badai bandar Chukai di Kemaman
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 11:53 PM
Dikemaskini: 4:06 PM

Bandar Chukai di Kemaman dan kawasan dalam radius kira-kira tiga kilometer di sekitarnya hari ini dikejutkan dengan fenomena hujan air batu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul petang tadi dan berlangsung selama 10 hingga 15 minit antaranya di Jalan Dato dan Jalan Kubang Kurus.

"Kejadian turut disertai ribut kuat yang menyebabkan beberapa kerosakan infrastruktur seperti khemah perniagaan dan bumbung kediaman serta sekolah tercabut. Tiada angka lengkap buat masa ini; kerana polis masih menerima kemasukan laporan.

"Seorang remaja lelaki tempatan berusia 15 tahun dilaporkan patah kaki kanan akibat dihempap runtuhan pondok di Pantai Mak Nik sewaktu berlindung di situ daripada kejadian ribut dan hujan air batu berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang membuat rondaan dan pemantauan di lokasi bagi mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai Mohd Zailani Abdullah berkata sebanyak 25 anggota dari BBP Chukai dan Kemaman kini berada di sekitar lokasi kejadian.

Beliau turut mengesahkan beberapa buah kereta turut dihempap pokok tumbang, namun jumlah sebenar masih belum dikenal pasti kerana masih lagi menerima panggilan berhubung kejadian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu Rosli Zakaria berkata hujan air batu berlaku disebabkan gabungan antara ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.

Apabila awan kumulonimbus terbentuk pada ketinggian yang tinggi, suhu udara di dalam awan melepasi nilai ambang tahap beku dan berlaku pembentukan ketulan ais di lapisan itu.

Apabila berat sangat, ais yang terbentuk di dalam awan tidak sempat mencair dan turun bersama hujan sebagai ais,” katanya.

Beliau berkata kejadian terbabit yang merupakan fenomena biasa, namun jarang berlaku di Terengganu tidak mempunyai kaitan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula awal November ini.

Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir di Kemaman dan Dungun pada 3 petang tadi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS