Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan wanita terbabit penipuan pelaburan emas
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 9:16 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesahkan seorang wanita tempatan yang dikaitkan dengan kegiatan penipuan pelaburan emas PA Jewellery dan Paddy Jewellery ditahan semalam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata wanita berumur 37 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebaik tiba dari Dubai.

Selain wanita itu, kata Ramli, berkata empat lagi individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan terbabit turut ditahan.

“Empat individu itu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur 29 hingga 38 tahun ditahan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Kedah dan Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Okt lepas.

“Turut dirampas ialah enam telefon bimbit pelbagai jenama dan satu pasport Malaysia.

"Mereka yang ditahan telah direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata sehingga kini, sejumlah 69 laporan polis telah diterima berkaitan penipuan pelaburan itu melibatkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM48.5 juta.

“Siasatan mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa dan pelabur yang berminat diarah membuat bayaran ke akaun syarikat Paddy Jewellery dan Paddy Legacy.

“Bagaimanapun, pelabur tidak menerima pulangan seperti dijanjikan," katanya.

Ramli juga menjelaskan siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dia juga menasihati mana-mana individu yang mungkin telah menyertai skim pelaburan tersebut untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS